Sabtu, 14 Mac 2009

Plak "Pokok Demokrasi" disimbah dengan cat hitam

MSTAR ONLINE


IPOH: Beberapa individu yang tidak bertanggungjawab telah menceroboh dan merosakkan plak "Pokok Demokrasi" kali kedua awal pagi tadi.

Kali ini plak yang menjadi lokasi berlangsungnya mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar ADUN Pakatan Rakyat pada 3 Mac lalu telah disimbah dengan cat berwarna hitam.

Semalam,plak tersebut telah dipecahkan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab.

Bekas ahli Majlis Kerajaan Negeri Perak, Nga Kor Ming berkata beliau tidak dapat memastikan sama ada cat berwarna hitam itu merupakan cecair yang mengakis atau tidak.

Bagaimanapun, menurut Nga pihaknya mempunyai rakaman video yang telah merakam perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu.

"Kami akan membuat laporan polis,pada hari Isnin ini," katanya kepada pemberita.

Semalam,Nga yang juga ADUN Pantai Remis berkata sebuah tabung akan dilancarkan bagi mengutip derma bagi membina plak baru yang lebih besar dan cantik bagi menggantikan plak yang rosak itu.

"Plak baru ini akan menggunakan bahasa kebangsaan, Tamil, Cina dan Inggeris bagi memudahkan pelancong memahaminya," katanya.

Ahad lalu, Pakatan Rakyat meletakkan tugu dan menanam lima batang anak pokok hujan-hujan di tapak 'sidang tergempar' DUN tersebut.

Sambil merujuk pokok tempat sidang tergempar itu berteduh sebagai 'pokok demokrasi', mereka melabelkan setiap anak pokok dengan lima prinsip pemerintahan kerajaan sebelum ini iaitu wibawa, keadilan, amanah, ketelusan dan kebajikan.

Tiada ulasan: