Rabu, 4 Mac 2009

Pilihan raya kecil DUN Batang Ai serentak 7 April

Oleh G.MANIMARAN
[DIKEMAS KINI, 12.35 TENGAH HARI]


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai akan diadakan serentak pada 7 April ini.

Dengan keputusan itu, ketiga-tiga pilihan raya kecil iaitu kerusi Parlimen Bukit Gantang dan dua DUN - Bukit Selambau dan Batang Ai akan diadakan pada hari yang sama.

Batang Ai terletak di Sarawak manakala Bukit Gantang di Perak dan Bukit Selambau di Kedah.

Hari penamaan calon bagi kerusi DUN Batang Ai juga akan diadakan serentak pada 29 Mac, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof di Kuching sebentar tadi.

Pada 13 Februari lalu, SPR memutuskan untuk mengadakan kedua-dua pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April.

Pada 24 Februari lalu, kerusi Batang Ai kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot daripada Barisan Nasional (BN).

Unting, yang merupakan Menteri Muda Pertanian dan Menteri Muda Sukan Sarawak, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Normah akibat serangan angin ahmar yang dialaminya pada 22 Mei lalu.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, beliau menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak dengan majoriti 806 undi.

BERITA TERDAHULU

SPR bermesyuarat, pilihan raya kecil Batang Ai hujung April?


[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pagi ini bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Ai, Sarawak.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya akan meneliti pelbagai aspek dalam menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.

"Kami sudah bincang dengan pegawai-pegawai kami di sini akan menghalusi pelbagai aspek dalam menentukan tarikh pilihan raya," kata beliau ketika dihubungi pagi tadi.

Mesyuarat ini bermula 9:30 pagi dan keputusan dijangka diumum Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sekitar pukul 11 pagi.

Wan Ahmad berkata pilihan raya kecil Batang Ai tetap diadakan tetapi akan mengambil kira persekitaran suasana politik dan ekonomi semasa.

Pada 24 Februari lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Batang Ai kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot daripada Barisan Nasional (BN).

Unting, yang merupakan Menteri Muda Pertanian dan Menteri Muda Sukan Sarawak, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Normah, pada pukul 1.25 pagi Selasa lalu akibat serangan angin ahmar yang dialaminya pada 22 Mei lepas.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, beliau menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dengan majoriti 806 undi.

Tiada ulasan: