Isnin, 16 Mac 2009

Pertikaian sempadan selesai?

UTUSAN ONLINE



BANDAR SERI BEGAWAN - Malaysia menganggap pertikaian isu sempadan darat dan maritim dengan Brunei Darussalam yang berlarutan sejak tahun 1994 hampir selesai apabila kedua-dua negara menandatangani Pertukaran Surat di sini, esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Sultan Hassanal Bolkiah akan menandatangani Pertukaran Surat tersebut pada mesyuarat delegasi kedua-dua negara di Istana Nurul Iman.

"Kita boleh anggap apabila pemimpin kedua-dua negara menandatangani Pertukaran Surat itu, pertikaian berhubung isu tersebut boleh dikatakan hampir selesai dan itu merupakan happy ending," kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Pada sidang akhbar di Hotel Empire di sini, hari ini, beliau memberitahu Surat Pertukaran itu mengandungi pakej penyelesaian kepada masalah-masalah berbangkit sebelum ini.

Ia antara lain mengandungi prinsip-prinsip kerjasama bagi penentuan sukatan di sempadan darat serta penerokaan, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan dalam zon maritim masing-masing tanpa sebarang konflik.

Penyelesaian itu, kata beliau, senada dengan semangat setia kawan antara Malaysia dan Brunei, selain aspirasi pucuk pimpinan untuk menumpukan segala usaha ke arah meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi demi faedah bersama.

Beliau menambah, kedua-dua negara juga esok akan turut memperincikan atau menentukan kawasan-kawasan komersial dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEC) di sempadan maritim yang pada dasarnya dipersetujui oleh pemimpin kedua-dua negara untuk dimajukan.

"Malaysia dan Brunei akan menggunakan kelima-lima perjanjian lama berkaitan sukat- menyukat tanah dan perairan bermula dari tahun 1920. Kelima-lima perjanjian lama itu menjadi petunjuk atau panduan kepada urusan-urusan selanjutnya dalam penyelesaian isu tersebut," katanya.

Menurut Rais, Perdana Menteri pada pertemuan esok akan menentukan prinsip-prinsip besar dalam kerjasama tersebut dan semua prinsip itu bakal menjadi 'mercu tanda' dalam konteks kerjasama dua hala.

Kata beliau, kedua-dua negara itu juga akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan urusan-urusan selanjutnya terutama soal teknikal yang tentunya yang mengambil masa untuk diselesaikan.

"Saya sendiri menganggap pencapaian besar kepada mencari penyelesaian kepada isu ini adalah atas inisiatif Perdana Menteri dan Sultan Brunei atas semangat negara berjiran dan ASEAN," katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rustam Mohd. Isa; Duta Besar Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari.

Masalah pertikaian kawasan antara Malaysia dan Brunei membabitkan kawasan-kawasan perairan laut dalam yang kaya dengan sumber minyak dan gas di sempadan kedua-dua negara serta kawasan sempadan darat di Limbang, Sarawak.

Berikutan pertikaian di kawasan sempadan perairan itu, usaha penerokaan minyak dan gas di kawasan terbabit telah dihentikan bagi memberi peluang kepada proses rundingan antara kedua-dua negara.

Tiada ulasan: