Selasa, 17 Mac 2009

Perbahasan rancak walaupun tiada wakil BN

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Ketua Pembangkang dan Adun BN tiada kesungguhan untuk membela dan menjaga kepentingan penduduk di kawasan mereka apabila sebilangan besar Adunnya tidak hadir dalam sesi sepanjang perbahasan sidang DUN.

Ekoran itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Adun yang mesti hadir dalam sidang DUN.

Katanya, mereka mesti menerangkan dan membahaskan perkara- perkara yang dikemukakan dalam Dewan untuk menjaga kepentingan penduduk.

Bagaimanapun beliau berharap semua Adun BN termasuk Ketua Pembangkang perlu sensitif dengan masalah penduduk serta kesungguhan menghadiri sidang DUN perlu dipertingkatkan.

Sidang DUN yang berlangsung selama enam hari tujuh jam itu telah menjawab 34 soalan lisan, meluluskan satu Rang Undang-undang Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dan empat usul.

Dalam pencapaian sidang DUN kali ini Khalid berbangga kerana hampir semua Adun membuat persediaan ketika mengutarakan soalan dan perbahasan.

Ini suatu petanda baik kerana katanya sidang DUN itu akan direkodkan untuk masa depan generasi akan datang bagi melihat dan menghayati perbincangan yang telah dilakukan.

"Walaupun saya bercakap sekarang tidak ada kumpulan pembangkang, ini bukan satu petanda yang tidak baik kerana ketika kerajaan BN mentadbir sidang DUN tidak pernah sampai tiga hari," katanya.

Beliau berkata, sidang DUN turut membahaskan usul tergempar yang diluluskan oleh Dewan iaitu usaha Pejabat Pembangunan Negeri Selangor yang ditubuhkan oleh kerajaan Pesekutuan menjalankan program `people centric'.

Katanya, program itu merupakan usaha kerajaan Persekutuan meningkatkan imej dan kredibiliti pimpinan BN sekaligus menjatuhkan imej dan kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat.

Tujuan perjumpaan itu juga tambah beliau untuk memenangi pilihan raya ke13 dengan majoriti 2/3 di Parlimen dan BN dapat menawan kembali negeri Selangor.

Beliau berkata, walaupun perkara itu boleh dilakukan oleh BN tetapi mereka telah menggunakan pegawai kerajaan dan ternyata ia merupakan satu kesalahan. _

Tiada ulasan: