Isnin, 30 Mac 2009

Penyokong PAS banjiri Taiping, Umno turun dengan pimpinan baru

SIASAH DAILY


TAIPING : Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Bukit Gantang pagi tadi memperlihatkan keyakinan kedua-dua PAS dan Umno apabila menyaksikan kehadiran hampir 10,000 penyokong Pakatan Rakyat manakala pemimpin-pemimpin baru Umno yang dipilih dalam perhimpunan agung parti itu baru-baru ini hadir menunjukkan sokongan.

Penyokong Pakatan yang tiba seawal 6.00 pagi memenuhi sekitar kawasan Wisma Majlis Perbandaran Taiping dan kawasan Jalan Alang Ahmad.

Suasana di kawasan penamaan calon itu kian sesak apabila menghampiri jam 8.00 pagi, apabila penyokong Barisan Nasional berkumpul di hadapan bangunan Umno Bahagian Taiping bersama dengan beberapa pemimpin Umno yang turut serta memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional, Ismail Safian.

Calon PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diiringi oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan mursyidul am, Datuk Dr Haron Din, pesuruh jaya PAS Perak, Ahmad Awang, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut, Mujahid Yusuf, S Sivakumar dan pemimpin Pakatan Rakyat lain termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Ronnie Liu serta pemimpin DAP Perak, Nga Kor Meng dan Ngeh Kor Ham.

Antara pemimpin Umno dan BN yang hadir ialah timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Zambry Abdul Kadir, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Puad Zarkashi, Tengku Adnan Mansor, Datuk Anuar Musa, presiden Parti Progresif Rakyat, M Kayveas serta pemimpin MIC negeri, G Rajoo dan naib pengerusi MIC, S Veerasingam.

Seramai 200 anggota polis anti rusuhan telah diletakkan di kawasan padang esplanade yang mengasingkan penyokong Pakatan Rakyat dan BN. Seramai tiga orang calon telah mengemukan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang ini.

Calon PAS, Mohammad Nizar telah sampai tepat jam 8.45 pagi dan borang pencalonan telah dihantar jam 9.06 manakala calon BN, Ismail tiba jam 9.10 diiringi oleh Muhyiddin Yassin.Seorang lagi calon bebas, Kamarul Ramizu Idris juga turut bertanding.

Penyokong Pas dilihat lebih ramai berbanding dengan penyokong Barisan Nasional. Bunyian gendang serta sorakan penyokong Pakatan Rakyat jelas menenggelamkan sorakan penyokong BN.

BN dilihat bersemangat berdasarkan kehadiran pemimpin baru juga dibantu oleh parti komponen lain. Pilihan raya kecil ini dilihat sebagai ujian kepada kepimpinan baru Umno di bawah Datuk Seri Mohd Najib Razak yang dijadual mengambil alih jawatan perdana menteri awal bulan depan.

PAS dan Pakatan Rakyat dijangka menggunakan isu krisis dalam politik dan pentadbiran negeri Perak sebagai isu untuk berhadapan dengan Umno dan BN, selain serangan terhadap personaliti presiden baru Umno.

Umno sejak pagi ini telah menunjukkan kesungguhannya menggunakan apa yang disifatkan sebagai penderhakaan terhadap raja oleh Nizar selain isu-isu lain seperti pengaruh kuat DAP dalam pentadbiran negeri untuk memenangi hati pengundi Melayu.

1 ulasan:

Unknown berkata...

52 tahun sudah cukup dah dibodohkan? insaflah kawan. tibalah masa utk mencuba parti yang lain untuk membangunkan bangsa & negara.