Ahad, 22 Mac 2009

Penulis buku 'Felda Dulu Tolong, Sekarang Along' cabar debat

Basiron Abdul Wahab.


TEMERLOH - Penulis buku 'Felda Dulu Tolong sekarang Along', Mazlan Aliman membuat tawaran dan cabaran terbuka kepada Pengerusi Majlis Belia Felda (MBF), Dato' Ramli Ismail untuk berdebat mengenai isu-isu yang dibangkitnya di dalam bukunya itu.

Mazlan berkata, tawaran beliau kepada pengerusi MBF itu adalah serius dan beliau bersedia untuk berdebat dengan Ramli pada bila-bila masa dan dimana jua.

Katanya, apa yang beliau tulis didalam buku berkenaan adalah hasil kajian yang dibuatnya selepas mengadakan lawatan hampir keseluruh rancangan Felda di Malaysia bertemu dengan masyarakat peneroka serta generasi baru Felda termasuk juga peserta Felda Plantations ( istilah digunapakai Felda ialah Buruh Plantations).

"Ia dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai generasi kedua Felda yang menghabiskan banyak masa masyarakat bawahan Felda.

"Saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan daripada perjuangan ini, jauh sekali utnuk mencari kekayaan melalui perjuangan ini sebagaimana pihak tertentu yang berkepentingan serta kaya raya hasil penat lelah peneroka," ujarnya ketika ditemui pada majlis dialog dengan masyarakat Felda Jenderak Utara.

Mazlan menyifatkan perjuangan generasi baru Felda masih jauh dari sasaran, ini kerana generasi baru Felda sedang berdepan dengan cabaran dan pelbagai masalah yang paling asas seperti perumahan, peluang pekerjaan , gejala sosial dan sebagainya. Masalah keperluan asas mereka pun masih belum selesai oleh Felda dengan sebaiknya.

Malah, menurut Mazlan beliau melihat sendiri bagaimana generasi baru Felda ini terpaksa tinggal diatas tanah 'sekangkang kera' milik ibu bapa mereka di tanah rancangan, tidak kurang juga ada terpaksa menyewa rumah didalam kawasan tanah rancangan.

Lebih parah lagi apabila ladang Plantations Felda membawa masuk buruh asing untuk bekerja sekaligus menafikan peluang pekerjaan kepada generasi baru Felda atas faktor komersil.

Mazlan berkata, Felda diasaskan bukan untuk tujuan komersil sebaliknya untuk menyusun semula masyarakat terutama orang Melayu yang tidak bertanah.

"Justeru, ada yang beranggaoan apa yang dikecapi peneroka dikira telah sampai ke tahap maksima sedangkan Felda mengaut kekayaan sebenar, hanya sedikit sahaja kekayaan itu dikembalikan kepada peneroka," ujarnya.

Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Se Malaysia (ANAK) berkata, Anak akan terus memperjuangkan hak peneroka dan generasi baru Felda demi masa depan mereka agar lebih terjamin.

Dalam pada itu Mazlan turut mengucap terima kasih kepada media cetak dan eletronik seperti TV3 dan sebagainya yang memberi promosi percuma kepada bukunya walaupun dalam bentuk negatif.

"Dengan penyiaran itu membuka ruang kepada lebih ramai peneroka membaca buku berkenaan yang saya muatkan dengan beberapa fakta yang tidak diketahui peneroka selama ini," katanya.- azm _

Tiada ulasan: