Jumaat, 20 Mac 2009

Penerbit Majalah Iban berhasrat tandingi pilihanraya Batang Ai

BERNAMA


SIBU: Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Ai pada 7 April ini bukan sahaja antara calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi bakal disertai calon bebas.

Seorang penerbit majalah budaya, pendidikan dan hiburan Iban, Johnny anak Chuat, 38, yang mempunyai laman portal menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Lulusan bidang Kewartawanan dan Komunikasi daripada Carleton University, Kanada berkata beliau sudah bersedia menghadapi pilihan raya kecil itu dan pengesahan muktamad pencalonannya adalah pada hari penamaan calon 29 Mac.Chuat yang kini bekerja dengan syarikat minyak dan gas merupakan anak tempatan dari Rh. Kaunselor Mujah, Nanga Menyebat, Lemanak, satu daripada kawasan majoriti pengundinya adalah kaum Iban, telah melakukan persiapan dan yakin mendapat sokongan.

"Aku sigi ka ngelaban amat amat. (Saya bersedia untuk menghadapi pertandingan ini). Tiada apa-apa yang perlu saya takuti atau khuatiri. Saya yakin akan memperoleh sekurangkurangnya 90 peratus daripada pengundi Lemanak yang berjumlah kira-kira 3,000 daripada 8,006 pengundi berdaftar di Batang Ai. Mereka semua saudara mara saya juga," katanya kepada Bernama ketika dihubungi. Chuat berkata keyakinannya itu datang daripada hakikat bahawa ini merupakan pertama kali seseorang daripada Lemanak bertanding dalam pilihan raya.Beliau percaya akan meraih sokongan pengundi lain di kawasan itu, terutamanya pengundi atas pagar, yang raguragu dengan BN atau PKR.

"Saya menawarkan diri sebagai pilihan altenatif," kata Chuat dengan yakin, meskipun menyedari saingan hebat yang bakal dihadapi daripada segi logistik calon BN dan persediaan bersungguhsungguh PKR.

"BN mungkin meletakkan calon yang umumnya diterima pengundi apabila menamakan Malcolm Mussem Lamoh manakala PKR dengan calon veteran Nicholas Bawin yang merupakan pengerusi cawangan PKR Lubok Antu atau bekas anggota parlimen empat penggal, Jawah Gerang, tetapi saya mempunyai strategi tersendiri," katanya.

Chuat, yang menegaskan beliau tidak ditaja sesiapa, berkata sejak 10 tahun lepas beliau mengadakan ceramah motivasi kepada pelajar dan memberikan bantuan kewangan kepada pelajar daripada keluarga miskin dan percaya mereka pasti mengenang jasa serta membalas budi.

Tiada ulasan: