Ahad, 22 Mac 2009

Pemuda PKR lancar kempen bantah Najib jadi PM

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) hari ini melancarkan kempen 'Katakan Tidak Kepada Najib Sebagai PM'.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kempen tersebut dilancar pada pukul 10 pagi tadi sempena program Rapat Anak Muda AMK Selangor dan Wilayah Persekutuan 2009, di sini.

Katanya, kempen yang akan berlangsung selama sebulan itu bertujuan mengajak rakyat supaya menolak Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang seterusnya.

"Kita berhasrat untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia menyertai kempen ini bagi menyatakan kita tidak mahu Najib sebagai Perdana Menteri berikutan pelbagai perkara negatif yang terpalit kepadanya," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Shamsul berkata, AMK akan memperhebatkan kempen tersebut di tiga pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 7 April ini iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan DUN Batang Ai.

"Selepas itu, kita akan teruskan kempen ini di setiap negeri di seluruh negara.

"Kita akan adakan pelbagai ceramah dan penerangan bagi pengisian kempen ini," katanya.

Ditanya keyakinan beliau terhadap kempen ini, Shamsul berkata, beliau percaya, kempen ini akan mendapat sambutan daripada orang ramai.

"Sekurang-kurangnya ada kumpulan pendesak yang menyatakan rasa protes mereka.

"Pendirian AMK tidak mahu Najib menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Shamsul berkata, pihaknya juga kini sedang merangka memorandum khas untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan penolakan mereka terhadap Najib.

"Kita jangka akan dapat menyerahkan memorandum itu pada minggu depan," katanya.

Tiada ulasan: