Khamis, 5 Mac 2009

Pemuda Pakatan azam pertahan kerajaan Selangor

Pakatan Rakyat


Pemuda Pakatan Rakyat Selangor berikrar mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, demi amanah dan mandat diberikan rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani Ketua Angkatan Muda KeADILan Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Sany Hamzan, mereka berkata mandat rakyat bertujuan membawa kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan kerajaan negeri.

“Pemuda Pakatan Rakyat Selangor akan berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri pimpinan Abdul Khalid,” kata mereka dalam kenyataan yang difakskan ke Harakahdaily baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Pemuda PAS dan KeADIlan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan semangat penubuhannya dalam memerangi rasuah dan salah laku lain.

Mereka mendesak SPRM menyiasat segala laporan rasuah yang dikaitkan dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang pernah dikemukakan pelbagai pihak.

“Ingatlah bahawa rakyat melihat dan menilai dan akhirnya akan membuat keputusan,” kata mereka.

Berhubung isu ‘lembu’ (korban di Bandar Tun Razak) dan ‘Lexus’ (kereta milik MB), mereka berdiri teguh dengan ketegasan dan ketelusan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat.

Mereka yakin dan percaya Menteri Besar tidak bersalah.

“Semua ini merupakan taktik jahat untuk menjatuhkan MB dan menghakis mandat rakyat,” kata mereka dalam kenyataan media itu.

Menurut mereka, setelah hampir setahun pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat, prestasinya jauh lebih baik daripada kerajaan terdahulu.

“Manifesto Harapan Baru Untuk Malaysia diterjemah kepada agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan pelbagai program untuk memulangkan kembali hasil negeri bertuah kepada rakyatnya,” kata mereka. - lanh _

Tiada ulasan: