Khamis, 19 Mac 2009

Pemuda Kelantan desak SPRM siasat Mohd Ali

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Selepas disahkan Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin terbabit rasuah politik, pelbagai pihak mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak segera.

Hari ini Dewan Pemuda PAS Negeri dan Dewan Pemuda PAS Pasir Mas membuat laporan rasmi kepada SPRM berhubung gejala tersebut.

Aduan mengenai perkara itu diserahkan Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri yang juga seorang peguam, Ahmad Najib Deris kepada SPRM pagi tadi.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berharap SPRM menyiasat secara telus dakwaan salah laku pemimpin terbabit.

Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri amat tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Disiplin Umno yang masih mengekal Mohd Ali sebagai Ketua Menteri Melaka walaupun disahkan terlibat dengan rasuah.

"Kita berharap SPRM membuat siasatan segera berhubung perkara itu, apa lagi dalam tempoh penjenamaan semula SPRM," katanya kepada pemberita selepas membuat aduan mengenai salahlaku kedua-dua pemimpin tersebut.

Sehubungan itu Dewan Pemuda PAS Kelantan mendesak Mohd Ali meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka kerana telah melakukan kesalahan sebagaimana yang diumum Lembaga Disiplin Umno.

Menurutnya badan disiplin terbabit tentunya mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan salahlaku kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Biar pun apa yang berlaku itu masalah dalaman Umno, namun Mohd Ali merupakan ketua sebuah kerajaan negeri. Ini bermakna isu yang berlaku sekarang bukan berkaitan parti semata-mata.

"Pemuda PAS membuat laporan kepada SPRM bagi memperlihatkan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersih dari masalah rasuah serta disegani dunia.

"Hadis Rasulullah saw ada menyebut setiap apa yang halal itu jelas, begitu juga yang haram juga jelas. Berpandukan kepada hadis tersebut ketetapan segera perlu diambil," ujarnya.

Beliau turut bersetuju supaya setiap ahli Umno yang bakal bertanding dalam parti itu disoal siasat terlebih dahulu bagi memastikan mereka bebas rasuah.

Menurutnya setakat ini difahamkan hanya sebilangan kecil sahaja kes yang siasat, sedangkan terdapat lebih 900 kes dilaporkan ahli Umno terhadap amalan rasuah politik kepada Lembaga Disiplin Umno.

Sehubungan itu, beliau berharap SPRM membawa Mohd Ali dan Khairy serta pemimpin tertinggi lain yang didapati bersalah ke mahkamah untuk diadili.

Hadir sama ketika membuat aduan tersebut Bendahari Dewan Pemuda PAS Negeri, Wan Azimin Wan Adnan, anggota jawatankuasa, Dr Rosli Alaani Abdul Kader dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas, Rozi Mohammad.

Semalam Angkatan Muda KeADIlan Melaka membuat laporan kepada SPRM terhadap Mohd Ali di atas dakwaan terbabit politik wang. - mj _

Tiada ulasan: