Sabtu, 21 Mac 2009

Pemilihan Umno: Keputusan dijangka 10 malam, 26 Mac

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Keputusan pemilihan bagi jawatan Majlis Tertinggi Umno dijangka akan diketahui menjelang pukul 10 malam, 26 Mac ini.

Dalam pada itu keputusan bagi ketiga-tiga sayap parti itu iaitu pemuda, wanita dan puteri dijangka akan diketahui pada pukul 9 malam, 25 Mac.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata keputusan itu dijangkakan lewat diketahui kerana ada calon dan wakil mereka tidak selesa dengan cadangan pengundian secara berkomputer.

"Kita anggap sistem menggunakan pengundian secara manual mungkin lambat sikit," katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung Umno 2008 yang akan bermula 24 hingga 28 Mac ini.

Beliau berkata usul yang akan dibahasakan oleh para perwakilan ialah ucapan dasar presiden, ekonomi, agama dan pendidikan.

Jelasnya lagi, memandangkan pilihan raya kecil bagi Parlimen Bukit Gantang, Perak serta dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Selambau dan Batang Ai akan diadakan, persidangan kali ini akan dipendekkan dan ditamatkan pada tengah hari 28 Mac.

"Kita akan pendekkan perhimpunan hingga tengah hari selepas ucapan penggulungan oleh Presiden kerana ingin memberi peluang kepada mereka yang akan pergi ke kawasan pilihan raya," katanya.

Berikutan itu, ditanya sama ada peluang bagi perwakilan yang hadir untuk berbahas akan dipendekkan, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan.

"Tempoh perbahasan setiap perwakilan belum diputuskan oleh Jawatankuasa Usul, mereka akan bermesyuarat dengan Jawatankuasa Pengurusan Isnin ini," katanya.

Tambah beliau kebiasaannya pembentangan usul akan mengambil masa 30 minit manakala perbahasan selama 15 minit seorang, bagaimanapun ia bergantung kepada budi bicara Pengerusi Tetap.

Menurut beliau, jumlah calon yang bertanding ialah 63 orang iaitu Pengerusi Tetap sebanyak dua calon, Timbalan Presiden (dua), Naib Presiden (lapan), anggota Majlis Tertinggi (50).

Bagi pergerakan Wanita, empat orang bertanding bagi jawatan Pengerusi Tetap, Ketua Wanita (dua), anggota Exco (49) manakala bagi pergerakan Pemuda, dua calon bertanding jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (enam), Ketua Pemuda (tiga), Naib Ketua (dua), anggota jawatankuasa (64), katanya.

Bagi sayap Puteri Umno, dua orang bertanding jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (tiga), Ketua Puteri (enam), Naib Ketua (empat) dan Exco Puteri (53).

Sehingga kini jumlah keseluruhan perwakilan yang akan turut serta dalam perhimpunan kali ini ialah seramai 4,885 orang.

Daripada jumlah itu jumlah perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno ialah 2,509 orang, perhimpunan agung Wanita (796), perhimpunan agung Pemuda (791), perhimpunan agung Puteri (789).

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya masih membuat pengesahan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Amanah Raya Berhad mengenai kelayakan mereka.

"Sekiranya mereka jatuh bankrap dan bermasalah, mereka tidak boleh jadi perwakilan. Setakat ini sebanyak 24 orang masih belum dipastikan sama ada sah atau tidak sebagai perwakilan," katanya.

Tengku Adnan juga berkata, pada pemilihan kali ini sedikit perbezaan dibuat pada kertas undi.

"Sedikit perubahan... kali ini pada kertas undi ada gambar calon bagi memudahkan mereka untuk mengundi," katanya.

Proses pengiraan undi akan dibuat dalam bilik yang dikawal ketat.

"Ia membabitkan kira-kira 300 orang petugas yang tidak boleh masuk dan keluar (dari bilik pengiraan undi) sesuka hati," katanya.

Tengku Adnan juga berkata Umno turut menjemput veteran dan bekas ahli Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri perhimpunan kali ini.

"Kita jemput veteran dan juga bekas ahli pun kita jemput macam Tun Mahathir.

"Tapi bekas ahli yang dah masuk parti lain macam Datuk Seri Anwar Ibrahim kita tak jemputlah," katanya.

Tiada ulasan: