Rabu, 18 Mac 2009

Pembelaan kes sembur Tun Mahathir 2 Jun

BERNAMA


KOTA BAHARU Mahkamah Majistret Kota Baharu hari ini menetapkan 2 dan 3 Jun ini untuk mendengar kes pembelaan ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff, terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan tiga orang lagi secara menyembur bahan berbahaya tiga tahun lepas.

Majistret Azman Mustapha menetapkan tarikh baru itu setelah Nik Sapeia mengemukakan dua lagi peguam baru bagi mewakilinya, Shamsul Bahrain Ibrahim dan Saseedharan Menon, tambahan kepada peguam sebelum ini, Zainal Abidin Mustaffa dan Mohd Ilias Mohd Noor.

Ketika prosiding baru bermula, Shamsul Bahrain yang akan mengetuai pihak pembelaan, memohon mahkamah yang sebelum ini menetapkan hari ini dan esok untuk mendengar pembelaan daripada Nik Sapeia, memberi tarikh baru untuk sesi berkenaan bagi membolehkan beliau meneliti kes itu memandangkan beliau dilantik mewakili tertuduh semalam.

Permohonan itu turut dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya Roja Rozela Raja Toran walaupun beliau sedikit terkilan kerana pelantikan peguam baru itu tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu.

Nik Sapiea, 53, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini pada 11 pagi 28 Julai 2006.

Tiada ulasan: