Khamis, 5 Mac 2009

PBSM perkenal sukatan pelajaran tambahan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) akan memperkenalkan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa sebagai sukatan pelajaran tambahan kepada semua ahlinya di sekolah menengah di seluruh negara tahun depan.

Naib Pengerusi PBSM Malaysia, Hisham Harun Hashim berkata, ia diyakini mampu membentuk nilai-nilai murni berteraskan konsep kemanusiaan sejagat.

"Dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai jati diri yang teguh, sukatan pelajaran baru itu wajar diwujudkan di sekolah selain mata pelajaran sedia ada yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

"Nilai kemanusiaan ini mampu mendidik anak-anak saling menghormati antara satu sama lain sekali gus membendung gejala keganasan seperti buli yang sering berlaku di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Henry Dunant kepada bekas Setiausaha Agung PBSM Malaysia, Datuk Ruby Lee di sini hari ini.

Anugerah tertinggi dalam PBSM itu disampaikan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir, Pengerusi Kebangsaan PBSM, Tan Sri Shahriman Tunku Sulaiman; Naib Presiden Kebangsaan PBSM, Wan Azhar Ali; dan Penasihat Kehormat PBSM cawangan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Nellie Tan Wong.

Sementara itu, menurut Hisham, pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Pelajaran mengenai pelaksanaan sukatan pelajaran Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa itu.

Katanya, PBSM juga akan menubuhkan 'Junior Rapid Deployment Squad' (JRDS) melibatkan ahli-ahli di peringkat sekolah menengah untuk membantu mangsa bencana alam seperti banjir.

"Lazimnya mangsa-mangsa bencana seperti banjir akan dipindahkan di sekolah sebagai penempatan sementara.

"Secara tidak langsung ia memberi pendedahan kepada ahli PBSM untuk mengaplikasi apa yang dipelajari termasuk kaedah bantuan, memasak, penjagaan kebersihan dan rawatan ringan yang wajar diberikan kepada mangsa dalam situasi sebenar," katanya.

Tiada ulasan: