Selasa, 10 Mac 2009

PAS umum calon Bukit Gantang 26 Mac

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: PAS akan mengumumkan calon untuk bertanding kerusi Parlimen Bukit Gantang 26 Mac ini, kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang semalam.

"Kita akan mengumumkan calon PAS tiga hari sebelum tarikh penamaan calon.

"Perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat PAS pusat kelmarin," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Bagaimanapun menurut beliau, PAS negeri belum selesai menyenarai pendek nama-nama yang dicalonkan oleh kepimpinan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bukit Gantang. "Ada kawasan DUN yang hanya menyerahkan senarai nama saat-saat akhir. Saya belum sempat mengemaskinikan senarai nama itu lagi.

"Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi saya akan menyemak senarai nama yang telah diserahkan itu," katanya.

Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada tiga DUN, iaitu Trong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Roslan Shaharum daripada PAS awal bulan lalu akibat sakit jantung.

Penamaan calon akan diadakan 29 Mac manakala hari pengundian, jika ada pertandingan, akan berlangsung pada 7 April.

Jelas beliau, selepas mengemaskinikan senarai nama calon itu barulah ia akan diserahkan kepada PAS pusat untuk memilih calon yang sesuai.

"PAS pusat hanya akan bermesyuarat mengenai calon selepas Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pulang dari luar negara pada 20 Mac ini," ujarnya.

Difahamkan Abdul Hadi akan berlepas ke Iran bagi menghadiri seminar dari 12 hingga 20 Mac.

Ditanya mengenai agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat PAS pusat semalam, Ahmad berkata, ia membincangkan mengenai gerak kerja dan persiapan jentera pilihan raya parti.

"Kita juga ada membincangkan mengenai persiapan jentera PAS untuk membantu Parti Keadilan Rakyat di Bukit Selambau," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad berkata, jentera pilihan raya PAS telah dilancarkan oleh Hadi pagi tadi di markas PAS di Bukit Chempedak yang terletak dalam DUN Changkat Jering.

Turut hadir Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Naib Presidennya, Datuk Husam Musa.

Tiada ulasan: