Isnin, 23 Mac 2009

PAS Melaka terus gesa Ali Rustam letak jawatan

Zaili Muhammad


MELAKA - Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, terus mengesa Dato' Seri Mohd Ali Rustam supaya meletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka setelah disabitkan dengan politik wang oleh Lembaga Disiplin Umno baru-baru ini.

Rakyat Melaka katanya, tidak mahu diketuai oleh seorang Ketua Menteri yang terlibat dengan gejala rasuah.

"Rasuah amat bahaya kepada negeri dan negara ini kerana kita bimbang generasi muda akan turut mencontohi perbuatan ini.

"Ini akan menghancurkan generasi muda. Beliau mesti letak jawatan kerana perbuatan itu sangat tidak bermaruah dan ia kesalahan besar, malah menunjukkan beliau tiada integriti dan tiada amanah," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Ali perlu meletakan jawatan kerana telah disabitkan kesalahannya oleh Lembaga Disiplin Umno sendiri dan itu merupakan bukti kukuh kerana lembaga tersebut diwujudkan oleh Umno bagi menghapuskan politik wang di dalam parti Umno.

"Kita akan adakan perhimpunan besar-besaran untuk menerangkan kepada rakyat Melaka supaya mereka faham keadaan yang sebenar dan kita tak mahu dikatakan hanya menabur fitnah semata-mata.

"Biar orang Melaka tahu bahawa jikalau Ali Rustam menang sebagai Timbalan Presiden Umno dan menjadi Timbalan Perdana Menteri adalah di atas cara yang tidak betul," kata beliau.

Beliau juga menasihatkan penyokong Ali Rustam yang berarak dari kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka ke Seri Negeri tempoh hari bagi menghalang penyerahan memorandum daripada Pakatan Rakyat Melaka supaya berfikiran terbuka dan tidak semborono menyokong pemimpin yang mengamalkan rasuah.

Sementara itu, penyokong Umno yang berhimpun di depan Seri Negeri bagi menghalang penyerahan memorandum tersebut bertindak ganas menerajang dan melempar pelbagai objek terhadap kenderaan Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek sehingga mengakibatkan kerosakan.

Mereka yang berarak dari kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara diketuai oleh Ali Rustam diberi kawalan keselamatan VIP oleh pihak polis sedangkan ia bertujuan memprovokasi rombongan Pakatan Rakyat.

Polis telah mengadakan sekatan jalanraya menuju ke Masjid Al Alami dan Seri Negeri serta mengawal ketat di kedua lokasi tersebut sejak 11.30 pagi bagi menghalang hasrat Pakatan Rakyat.

Ini adalah kejadian kedua provokasi yang dilakukan oleh penyokong Ali Rustam ke atas Pakatan Rakyat di mana sebelum ini mereka melakukan provokasi di depan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Melaka ketika laporan rasuah Ali Rustam dibuat. - mns_

Tiada ulasan: