Isnin, 16 Mac 2009

Parlimen gantung Gobind satu tahun

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggantung anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo daripada menghadiri sidang Dewan selama setahun berkuat-kuasa serta-merta.

Tindakan itu diambil ekoran Gobind mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terbabit dalam kes pembunuhan dan juga menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 pada 12 Mac lepas.

Penggantungan itu diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah pengundian sebulat suara daripada anggota Parlimen kerajaan yang hadir dalam persidangan Dewan hari ini.

Pandikar Amin mengumumkan keputusan berkenaan pada pukul 1 tengah hari.

Ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menggulung perbahasan usul itu, anggota parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan selepas menimbulkan kekecohan kerana tidak puas hati Gobind tidak dibenarkan membela diri.

Terdahulu, Pandikar Amin berkata beliau meluluskan usul itu kerana berpendapat ia adalah kerana kepentingan umum yang membawa persepsi kepada masyarakat yang melihat gelagat anggota Parlimen.

"Saya dah baca peraturan mesyuarat 27 (3), 80 (1) dan 44 (8) yang mana membolehkan usul patut dibahaskan dalam Dewan ini.

"Ini adalah tafsiran saya dan saya nak ingatkan keputusan Speaker di bawah peraturan 43 harus diterima. Ini perkara yang ada kaitan dengan tabiat gelagat dan keceluparan anggota Dewan berlindung dalam Dewan dan bukannya berlaku di luar sana. Semua tahu perkara ini berlaku," katanya.

Beliau berkata beliau faham mengenai kebebasan bersuara dan keistimewaan anggota Parlimen tetapi mestilah dalam tanggungjawab sendiri.

"Ini berpunca daripada anggota Parlimen sendiri dan bukan daripada saya. Saya lakukan ini supaya tidak berlaku lagi perlanggaran peraturan mesyuarat. Majlis yang bersidang adalah lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Hak Kebebasan dan Keistimewaan yang diwujudkan sendiri," katanya.

Pandikar Amin berkata sama ada setuju atau tidak, Gobind juga enggan mengulangi kenyataan di luar Dewan seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar kerana dilindungi dalam Dewan.

Beliau berkata ini bermakna tindakan itu (yang tidak mahu mengulangi kenyataan di luar Dewan terhadap tuduhannya kepada Timbalan Perdana Menteri) berselindung di sebalik keistimewaannya sebagai anggota Dewan.

Beliau berkata beliau juga sudah membaca hansard (penyata rasmi Parlimen) pada hari berkenaan.

Beliau mendapati Anggota Parlimen itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu sangkaan jahat, 36 (4) bahasa kurang sopan, 36 (9) menyebut sifat dan kelakuan anggota Parlimen selain daripada menjalankan urusan, 36 (2) menyebut perkara dalam pertimbangan mahkamah, 36 (10) b dan c iaitu membangkitkan perasaan marah kepada kerajaan serta menaikkan perasaan antara kaum.

Perbahasan kemudian diteruskan dengan Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) mengambil giliran.

Tiada ulasan: