Jumaat, 20 Mac 2009

Panel Rayuan belum terima rayuan Ali Rustam

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Sehingga hari ini Panel Rayuan Umno masih belum menerima sebarang surat rayuan ahli parti untuk diteliti bagi kesalahan politik wang seperti yang didedahkan Lembaga Disiplin Selasa lalu.

Pengerusi Panel Rayuan Umno, Tan Sri Mohd Zuki Kamaluddin berkata hingga kini pihaknya tidak menerima apa-apa maklumat berhubung rayuan daripada pihak pengurusan parti.

"Saya pun tak tahu lagi (rayuan), sampai hari ini mereka (pengurusan) tidak maklumkan apa-apa kes rayuan untuk diteliti.

"Jadi saya pun tak tahu secara rasmi siapa yang kemuka rayuan atau berapa ramai yang kemuka," katanya kepada mStar Online.

Jelasnya selepas Lembaga Disiplin membuat keputusan, sebarang permohonan rayuan daripada ahli akan dikemukakan kepada pihak pengurusan parti sebelum dipanjangkan kepada barisan panel rayuan untuk diteliti.

"Rayuan bukan kepada kita, kepada pengurusan...kita hanya teliti dan baru buat keputusan," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, jika sehingga esok pihaknya belum menerima maklumat mengenai sebarang rayuan, beliau akan cuba menghubungi pihak pengurusan parti.

"Kalau sampai esok kita tak dapat apa-apa perkhabaran daripada pengurusan, saya akan cuba hubungi untuk dapatkan maklumat," katanya.

Selasa lalu Lembaga Disiplin parti melarang calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam daripada bertanding atau dipilih jawatan itu setelah beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno, yang melibatkan politik wang.

Calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga didapati bersalah di bawah perkara yang sama, tetapi hanya diberi amaran.

Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, berkata Mohd Ali yang juga Naib Presiden dan Ketua Umno Bahagian Bukit Katil didapati mempunyai kaitan dengan tiga lagi ahli Umno bahagian itu yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan politik wang.

Ketiga-tiga mereka, yang disifatkan sebagai ejen kepada Mohd Ali, didapati bersalah dan dikenakan hukuman digantung keahlian parti selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan, mengikut fasal 20.9 (c) Perlembagaan Umno.

Dua daripada mereka ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Bukit Katil, Saadun Basirun yang juga Setiausaha Politik Mohd Ali, dan Rosli Hasan. Seorang lagi ialah Naib Ketua Puteri bahagian itu, Zalina Ismail.

Tambah Mohd Zuki pihaknya sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk meneliti sebarang kes rayuan yang dikemukakan.

"Kita sentiasa bersedia pada bila-bila masa, ada sahaja rayuan kita pasti akan terus buat penelitian," katanya.

Panel Rayuan Umno terdiri daripada lima orang ahli.

Ditanya berapa lama masa yang diperlukan untuk membuat penelitian bagi sesuatu kes, beliau berkata perkara tersebut bergantung kepada kes itu sendiri.

"Ikut keslah, kalau berat mungkin ambil masa lama, tapi kalau kes itu tidak berat...dalam masa sehari pun kita sudah boleh selesaikan.

"Saya tahu semua orang mahu kita selesaikan semua kes sebelum perhimpunan agung, walaupun kami tak boleh jamin mengenai hal itu, tapi apa yang pasti kita tak akan lengahkan penelitian.

"Kita akan cuba selesai secepat mungkin sebelum perhimpunan," katanya.

Tiada ulasan: