Khamis, 12 Mac 2009

Pak Lah sudah pilih tarikh sesuai serah kuasa

Oleh Veena Rusli dan Suzianah Jiffar


TELUK SEPANGGAR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mempunyai tarikh khusus bagi menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, beliau akan membuat pengumuman rasmi mengenainya nanti.

"Saya sudah membincangkan beberapa perkara dengan beliau (Najib). Tarikhnya (peralihan kuasa) memang ada dan saya akan umumkan nanti," katanya mengulas laporan kononnya peralihan kuasa akan diadakan pada 3 April ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar.

Terdahulu, Abdullah yang juga Menteri Pertahanan mendengar taklimat projek kapal selam negara dan melawat KD Pahang.

Mengenai insiden makan tengah hari bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat, kelmarin, Perdana Menteri berkata, ia berlaku secara kebetulan dan tiada pertemuan empat mata berlaku di antara beliau dengan ketua pembangkang itu.

"Saya hadir sebagai memenuhi undangan Sheikh Mahmud Al-Mazjub yang turut dikenali Anwar.

"Beliau (Sheikh Mahmud) mengadakan majlis Maulidur Rasul dan sambutan tamat latihan kerohanian 40 tahun. Ketika kami makan tengah hari, Anwar tiba dan dijemput makan bersama. Itu saja.

"Selepas itu saya bercakap dengan Sheikh Mahmud dan beliau beri pelbagai pandangan mengenai masalah yang dihadapi dunia dan menekankan pentingnya pemimpin negara bersikap adil serta mengawal keadaan untuk memastikan keamanan.

"Dia bercakap dengan saya, dia tak bercakap dengan Anwar. Anwar ada situ, saya pun tak cakap dengan dia sebab dok dengar Tok Guru tu bercakap. Bukan senang nak dengar Tok Guru bercakap, tidak lebih daripada itu," katanya.

Abdullah berkata, penjelasannya itu wajar menamatkan spekulasi yang timbul, di samping menyifatkan laporan kononnya beliau mengadakan perbincangan empat mata dengan Anwar sebagai `serkap jarang'.

"Tak ada, dia agak sajalah tu ataupun ada orang lain buat cerita," katanya.

Kelmarin, portal berita internet menyiarkan laporan Abdullah dan Anwar menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Hulu Langat serta makan bersama Sheikh Mahmud, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk kononnya berlaku perbincangan empat mata antara kedua-duanya.

Mengulas ketidakhadiran sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang ketika Najib membentangkan Bajet Mini di Dewan Rakyat petang kelmarin, Abdullah berkata, mereka cuma berminat bermain politik dan tidak menghiraukan rancangan kerajaan dalam menangani keadaan ekonomi semasa.

"Padahal sebelum ini mereka mengatakan perkara berkaitan ekonomi itu penting dan mereka nak tahu apa yang kerajaan nak buat, tetapi bila Menteri Kewangan umumkan di Parlimen, mereka macam tak nak dengar.

"Bagi saya, itu satu sikap yang tidak baik dan tidak `gentleman', malah rakyat pun tidak senang dengan kelakuan seperti itu," katanya.

Menyifatkan pembangkang cuma pandai bercakap, Abdullah berkata, rakyat mulai muak dengan hal berkaitan politik dan mahu kerajaan serius serta bersungguh-sungguh melaksanakan rancangan yang disediakan berdasarkan peruntukan disediakan.

Mengenai lawatannya ke pangkalan TLDM itu, Abdullah berkata, pembinaan pangkalan kapal selam di Teluk Sepanggar berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya Jun ini dan sedia menerima kapal selam pertama jenis Scorpene pada bulan berikutnya.

Malaysia menempah dua kapal selam Scorpene berharga RM3.4 bilion pada 2002. Kapal selam itu dibina syarikat Perancis, DCNS dan rakan kongsinya, Navantia, dari Sepanyol yang berpengalaman membina kapal selam sejak 1888.

Tiada ulasan: