Selasa, 10 Mac 2009

Norza tetap mahu pertahan kerusi MT Umno

Saya cuma beri keterangan kepada SPRM

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Datuk Norza Zakaria, yang sebelum ini dilapor 'ditemui' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menafikan yang beliau akan menarik diri daripada bertanding mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno bulan ini.

"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya mengenai khabar angin yang menyatakan saya tidak akan bertanding.

"Kenapa perlu saya tarik diri sedangkan saya sudah menerima pencalonan yang cukup?" katanya kepada mStar Online semalam.

Ditanya mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atasnya, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

"Tiada Komen... saya hanya memberi keterangan kepada SPRM bukan disiasat," katanya.

Norza juga menegaskan, tidak ada sebab untuk beliau tidak bertanding jawatan berkenaan atas alasan moral kerana belum dibuktikan bersalah.

Pada 24 Februari lalu, Norza menafikan beliau terbabit dalam rasuah politik selepas dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung dakwaan politik wang Januari lalu.

Sebelum ini, media melaporkan beliau menyerah diri di pejabat SPRM cawangan Temerloh selepas agensi berkenaan menahan 12 ahli Umno di Maran dan Temerloh bulan lalu.

SPRM Pahang mengambil keterangan daripada sekurang-kurangnya 35 orang dari Temerloh dan Maran berhubung kes itu.

Laporan akhbar juga menyatakan 12 ahli Umno yang ditahan itu didakwa menerima wang di antara RM300 dan RM500 bagi mengundi seorang ahli politik yang bertanding jawatan ahli MT pada Mac ini.

Tiada ulasan: