Rabu, 25 Mac 2009

"Nizar calon terbaik" - DAP Perak

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Ko Ham menyifatkan pencalonan Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin sebagai calon PAS di Bukit Gantang adalah tepat dan terbaik.

Demikian katanya, ketika mengadakan sidang media di Parlimen hari ini, mengenai penerimaan DAP terhadap calon PAS itu.

Beliau yakin Nizar akan mendapat undi di kalangan rakyat kerana ketokohan Menteri Besar Pakatan Rakyat itu menerajui Perak dengan pentadbiran yang baik dan berkesan.

Selama menerajui Perak 11 bulan, Nizar memperlihatkan kebajikan kepada rakyat dan beliau sangat disegani pelbagai lapisan masyarakat, katanya.

"Ini adalah calon yang sebaik sahaja bekas ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia, saya sendiri sebutkan bahawa Nizar adalah calon yang perlu diketengahkan bagi pilihan raya di Bukit Gantang, ternyata pilihan saya tepat dan benar," katanya.

Sebelum ini Ngeh pernah mencadangkan nama Nizar selaku calon terbaik bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang kerana ketokohan Nizar selaku MB Pakatan Rakyat yang diterima semua pihak.

Menyokong pandangan itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran turut melihat Nizar sebagai calon yang akan memberi peluang cerah kepada Pakatan Rakyat menang 7 April nanti.

Dalam pada itu beliau turut mencabar Umno-BN meletakkan Dr Zambri Abdul Kadir selaku calon BN di Bukit Gantang bagi memperlihatkan siapa MB sebenar yang dipilih rakyat.

"Ini bukan setakat satu pilihan raya kecil, ia adalah juga referendum rakyat kepada kerajaan BN Perak yang ditubuhkan secara rampasan kuasa dan referandum kepada Najib Tun Razak yang bakal menjadi PM akan datang," ujarnya. - mks. _

Tiada ulasan: