Ahad, 22 Mac 2009

Mohd Ali: Detik paling mencabar dalam hidup saya...

MALAYSIA KINI


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan larangan beliau bertanding jawatan presiden Umno minggu depan sebagai "satu detik yang paling mencabar dalam hidupnya" selepas 41 tahun berkhidmat dalam parti.

Semalam, panel rayuan Umno menolak rayuan Mohd Ali terhadap keputusan Lembaga Disiplin Umno itu.

Dalam mesyuaratnya semalam, panel tersebut sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan larangan terhadap Mohd Ali untuk bertanding selepas didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Pengerusi panel rayuan itu Tan Sri Mohd Zuki Kamaluddin berkata keputusannya berkuatkuasa serta-merta.

"Inilah adalah satu detik yang paling mencabar dalam hidup saya," kata Mohd Ali apabila ditanya reaksi terhadap keputusan tersebut.

Namun, tegasnya, beliau akan terus memberi sumbangan kepada parti, agama dan bangsa.

Tidak patah semangat

Mohd Ali berkata, itulah niat awalnya ketika menyertai umno sejak berumur 18 tahun dan tidak akan patah semangat walaupun menerima hukuman dilarang bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

Selasa lalu, Mohd Ali dilarang bertanding jawatan tersebut selepas Lembaga Disipli Umno mendapatinya melanggar tataetika parti fasal 10.1 selepas ejen-ejennya terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

"Apa-apa juga yang berlaku, saya sudah bersedia kerana niat saya berparti adalah semata-mata untuk agama, bangsa dan negara.

"Apa yang penting kita perlu ikhlas dalam perjuangan," kata Mohd Ali kepada pemberita ketika menghadiri satu majlis perkahwinan di Taman Saujana Indah, Bukit Katil, Melaka hari ini.

Beliau juga dijemput memberi ceramah kepada Kelab Umno luar negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini dan merasmikan kursus pemimpinan kelab tersebut pada sebelah malamnya di tempat yang sama.

Naib presiden Umno itu juga mahu parti diutamakan dan memastikan peralihan kuasa berjalan lancar.

Terima keputusan

Sambil menerima keputusan itu dengan hati terbuka, Mohd Ali mahu penyokongnya menerima keputusan lembaga disiplin panel rayuan tersebut.

Beliau juga berkata, walaupun mungkin mereka kecewa dengan keputusan tersebut, namun sokongan terhadap parti wajar diberi keutamaan ketika umno berdepan dengan pelbagai cabaran dan debaran berlakunya peralihan kuasa.

"Dulu kita ada tiga calon iaitu seorang ketua menteri dan dua orang lagi bekas menteri besar. Kini tinggal bekas menteri besar. Perwakilan bijak dan terserah kepada kebijaksanaan mereka untuk membuat pilihan.

"Bagi saya, saya akan terus memberi sokongan padu kepada parti dan kepada kedua-dua calon yang bertanding kerana kedua-duanya adalah sahabat saya di dalam dan luar parti.

"Selain itu, pastikan peralihan kuasa pada akhir bulan ini atau awal bulan depan berjalan lancar," katanya.

Tiada ulasan: