Rabu, 4 Mac 2009

M.Nasir selayaknya di-Datuk-kan dan di-Sasterawan Negara-kan

Oleh Faizal Riduan


SEBULAN sebelumnya, ketika menyaksikan "Puteri Gunung Ledang The Muzikal", saya terpaku melihat iklan promosi Konsert Alam M. Nasir dalam lukisan yang abstrak seperti juga irama dan lirik lagunya yang penuh falsafah dan alamiah. Sebenarnya saya masih berharap Hang Tuah versi layar perak itu diturunkan sebagai Hang Tuah ke Panggung Sari, Istana Budaya - 'Pentas Bertaraf Dunia'. Walaupun Stephen Rahman Hughes jauh lebih kacak dan maskulin namun susuk watak M. Nasir itu sendiri sudah ber-roh-kan Laksama Hang Tuah.

Namun, ini tidak sedikitpun mengurangkan rasa kagum saya terhadap bakat Stephen apabila beliau menarik vokal tertingginya dengan penuh fonetik saya terreflaks bangun dan bertepuk tangan - satu penghormatan untuk vokalis kumpulan opera Teatro yang dianggotai bersama seorang warga Amerika dan 3 orang warga British. Lakonan aktor dalam teater West Side Story dan Bombay Dreams di West End Theatre - teater tertinggi komersil Inggeris yang ditonton lebih 13 juta orang pada tahun 2007 ini tidak perlu dipertikaikan jauh lebih baik dari pelakon utama 'box-office' tempatan! Cuma mungkin baka 3 sukunya iaitu kacukan British, Pakistan dan Melayu menampakan batang tubuh Hang Tuah diangkat terlalu universal dan antarabangsa!

Berbalik kepada Konsert Alam M. Nasir iaitu satu perjalanan seni M. Nasir menjangkau tiga puluh tahun bergelar anak seni dari sejarah awal mengasas kumpulan Kembara. Sememangnya dedikasi beliau terserlah melalui kata ganti diri ke-duanya sebagai 'sifu' bukan sahaja kepada Alleycats, Search, Wings, Ella, Hattan, Spider dan Mawi tetapi keseluruhan industri muzik Malaysia.

M. Nasir sebenarnya bukanlah sekadar penyanyi, pemuzik, pelakon dan pelukis sebaliknya saling tidak tumpah pembawaan sang sasterawan, budayawan dan ahli filosofis sehingga pernah memprovokasi khalayak politik dengan soalan kritikal, "Siapa Mahathir?". Malangnya 'method of enquiry' ala Socrates itu gagal di-'pulang paku buah keras'-kan sebaliknya respon balas lebih kepada `the lost art of argument`, fenomena yang dibayangkan oleh Christopher Lasch dalam karyanya “The Revolt of Elites and the Betrayal of Democracy”. Melihat 28 tahun kebelakang, seusia saya dilahirkan yang kini telah menginjak dewasa, M. Nasir selayaknya sudah sekian lama di-Datuk-kan dan di-Sasterawan Negara-kan!

Sebagai seorang peminat nombor wahid M. Nasir selain Ramli Sarip, satu kekesalan saya kelewatan 10 minit untuk menyaksikan 'Grand Opening' konsert ini. Lebih malang lagi saya kehilangan tiket pada sat-saat akhir! Walaupun nama saya berada dalam senarai rekod kerana menempah secara dalam talian namun kecuaian saya itu hanya boleh dimaafkan dengan caj tambahan RM10 bagi pengeluaran tiket baru. Kelewatan kian bertambah 10 minit lagi apabila kemudian saya tidak dibenarkan masuk ke dalam panggung sehinggalah pada lagu "Ekspres Rakyat".

Namun sebaik dibenarkan masuk ke dalam panggung saya seolah masuk ke alam lain persis alam bunian yang memukau, asyik larut dalam irama, lagu dan gema suara yang bersatu. Dari genre pop, keroncong, tradisional, balada dan irama Malaysia persembahan M. Nasir nampak asli dan ori apatahlagi dengan busana bercitra tempatan yang digayakan dengan lenggok tari gaya bebas seorang lelaki Melayu terakhir - mungkin. Rasa hampa, kecewa dan ralat kemudian bertukar menjadi harmoni dan damai sekali - begitulah hebatnya aura M. Nasir!

Satu lagu yang paling melankolik yang benar-benar dapat mengungkap nostalgik cinta yang tragik saya lalui semasa dalam pengajian 5 tahun yang lalu dating secara ‘flash back’. Malam itu saya dapat rasai kembali kehangatan air mata yang kecewa dan kesayuan hati yang rawan dalam bait-bait lagu 'Keroncong Untuk Ana' (harap maklum : saya tidak pernah mempunyai kekasih bernama Ana!).

"Benarkah tiada bagiku
Ruang di hatimu untukku bertapak
Walaupun sejengkal jari
Agar dapat ku berdiri
Di ambang pintumu"

"Tiada ku sangka akhirnya
Kau tutup semua
Pintu cinta untukku
Hinggaku
Termanggu tiada
Arah nak ku tuju
Membawa hatiku"

Ahh... saya dapat rasakan M. Nasir menujukan lagu ini kepada saya, bagai terkena batang hidung sendiri saya rasa diperli sama sekali! Atau saya yang perasan keseorangan kerana cinta yang tidak kesampaian sebenarnya adalah satu perasaan teragung yang punah, ranah dan musnah yang dikongsi oleh sebahagian ramai orang - bukan saya seorang!

Namun seperti direnjat, saya terus tersedar ke alam nyata dari pukauan khayal sihir M. Nasir apabila rakan saya pada malam itu tiba-tiba mendapat panggilan kecemasan kematian abang iparnya! Dia bertanyakan saya "Bolehkah kita balik sekarang?" dan saya secara ikhlasnya menjawab "Mengapa tidak? Abang ipar kamu lebih penting dari M. Nasir! Dan kamu adalah M. Nasir saya", walau saya sedar terpaksa menunggu entah berapa tahun lagi memandangkan konsert sebelum ini ialah Konsert Andalusia di Stadium Negara pada tahun 2000. Dari tahun 2000 sehingga tahun 2009 adalah satu penantian yang panjang dan diharapkan ini bukanlah konsert terakhir M. Nasir - satu permintaan.

Ya, saya hanya masuk pada pertengahan konsert dan tidak dapat menyaksikan permulaan dan pengakhiran konsert yang biasanya lebih dramatik dan klimaktik. Namun sebenarnya tujuan saya pada malam itu telah tercapai sudah untuk kembara bersama M. Nasir seorang sahabat paling akrab yang kini saya kurang meluangkan masa bersamanya. M. Nasir yang saya maksudkan bukanlah Mohamad Nasir bin Mohamad sebaliknya ialah Mohd Nasir bin Selamat!

Tiada ulasan: