Ahad, 1 Mac 2009

Menteri Besar Selangor minta penjelasan Mohd Nazree dan Ahmad Said

SUARA KEADILAN


SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim memohon penjelasan daripada Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Said Hamdan berhubung isu kereta peribadi beliau dan lembu korban.

Peguam beliau, Sankara N.Nair memberitahu yang anak guamnya melalui S.N.Nair & Partners telah menghantar tiga surat n yang bertarikh 25 dan 26 Februari dikemukakan kepada dua individu berkenaan.

Ketiga-tiga surat berkenaan menetapkan tempoh tujuh hari untuk kedua-duanya memberi penjelasan sebelum tindakan lanjut diambil.

Surat kepada Mohd Nazree itu merujuk kepada kenyataan beliau kepada media pada 3 Februari yang antara lain dirujuk sebagai berkata ‘hari ini GERAK telah diberi satu lagi maklumat dan bahan bukti mengenai satu lagi penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan Abdul Khalid.’

Mohd Nazree juga didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengatakan Abdul Khalid terlibat dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa sebagai Menteri Besar.

S.N.Nair & Partners memohon penjelasan daripada kenyataan-kenyataan Mohd Nazree yang disifatkan mengandungi kenyataan palsu, pembohongan yang berunsur fitnah ke atas Abdul Khalid.

Surat kepada Ahmad Said pula merujuk kepada kenyataan yang dibuat beliau seperti yang dipetik media massa, antaranya seperti yang disiarkan dalam The Star pada 21 Februari, yang menyebut adanya bukti kukuh yang menunjukkan Abdul Khalid menyalahgunakan kuasanya dalam menyelenggara kereta peribadi dan pengagihan 46 ekor lembu korban di kawasan parlimennya, di Bandar Tun Razak.

Menurut S.N.Nair & Partners, anak guamnya menyatakan yang Ahmad Said tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk membuat kenyataan itu.

“Atas semua dakwaan itu, klien kami mengulangi dan menegakkan pendirian yang beliau tidak bersalah dan akan mempertahankan dirinya. Klien kami tidak melanggar mana-mana undang-undang atau menyalahguna kuasanya dalam apa jua cara,” kata Sankara.

Tiada ulasan: