Ahad, 1 Mac 2009

MCA sambut ulang tahun ke-60, gariskan hala tuju

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: MCA, salah satu parti komponen utama dalam Barisan Nasional (BN) menyambut ulang tahun ke-60 penubuhannya hari ini dengan memperlihatkan gaya Malaysia yang tulen menerusi persembahan masyarakat pelbagai kaum negara ini.

Malah, pemimpin-pemimpin parti disambut dengan iringan kompang ketika mereka memasuki Dewan Lee San Choon, Wisma MCA di Jalan Ampang di sini pagi ini.

Sambutan juga diwarnai oleh klip video yang menggambarkan kemajuan yang dilalui oleh parti tersebut. Ia disusuli dengan majlis memotong kek.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dalam ucapannya menekankan keperluan menangani krisis ekonomi semasa selain secara proaktif terlibat dalam politik arus perdana dan membina hubungan mantap melibatkan pelbagai kaum.

MCA, parti politik kaum Cina terbesar di negara ini ditubuhkan pada 27 Februari 1949.

Seramai 2,500 pemimpin akar umbi berhimpun di Dewan San Choon untuk mengikuti butiran mengenai hala tuju parti itu untuk tahun-tahun akan datang - yang disampaikan oleh Presiden parti.

Ong memenangi jawatan presiden parti pada pemilihan MCA Oktober lalu.

Sambutan ini bertemakan "60 Tahun Membina Impian, Komitmen dan Perkhidmatan Sepanjang Hayat", parti itu sudah menetapkan agenda dalam usaha untuk melakukan pembaharuan bagi menjadi sebuah parti pilihan rakyat, lebih-lebih lagi selepas mengalami kekalahan paling teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 sejak negara merdeka.

Tiada ulasan: