Ahad, 15 Mac 2009

MBI keluar notis supaya plak "Pokok Demokrasi" dirobohkan

BERNAMA


IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengeluarkan notis supaya pemilik plak peringatan yang dibina di kawasan di bawah "Pokok Demokrasi" di Lebuh Istana di sini supaya merobohkan plak tersebut dalam tempoh 24 jam.

Notis itu dipercayai ditampal semalam pada pokok yang berlangsung kononnya sidang tergempar Dewan Undangan Negeri yang diadakan oleh pihak pembangkang pada 3 Mac lalu.

Ia yang ditandatangani Pegawai Undang-Undang MBI bagi pihak Datuk Bandar Ipoh, menyebut pembinaan plak itu menyalahi Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana menyebabkan halangan di tempat awam.

Plak peringatan itu didapati dipecahkan semalam oleh pihak yang tidak diketahui sementara pagi ini ia didapati turut disimbah dengan tar.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming pada satu sidang akhbar di sini, menunjukkan rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan imej seorang lelaki bertukul besi sedang memecahkan plak berkenaan.

"Pemuda Sosialis DAP akan menyerahkan rakaman ini dan membuat laporan polis Isnin ini supaya tindakan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Tiada ulasan: