Khamis, 19 Mac 2009

Manikumar calon Pakatan di Bkt Selambau?

MALAYSIA KINI


Nama calon Pakatan Rakyat yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau akan diumumkan Jumaat ini.

Pengarah pilihanraya kecil tersebut, Saiful Izham Ramli berkata pengumuman akan dibuat sendiri oleh ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan hari ini, Saiful Izham berkata, calon Pakatan adalah daripada PKR.

Majlis itu akan berlangsung bilik gerakan utama PKR di pejabat khidmat ahli Parlimen Merbok pada jam 10 pagi.

Sementara itu, sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa calon pilihan kepimpinan parti itu bukan daripada senarai tiga nama yang dicadangkan sebelum ini.

Sebaliknya, seorang muka baru akan dipilih sebagai calon, iaitu S Manikumar, 35, untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit pada 7 April.

Tiga nama calon yang dicadangkan sebelum ini ialah ketua PKR bahagian Sungai Petani, Dr R Krishnamoorthy; ahli jawatankuasa (AJK) bahagian berkenaan, S Sritharan dan AJK bahagian Merbok yang juga ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani, K Masilamani.

Bagaimanapun, difahamkan kepimpinan parti telah dipujuk oleh wakil rakyat sebelum ini, V Arumugam, supaya memilih Manikumar.

Kerusi DUN tersebut kosong selepas Arumugam meletak awal bulan ini.

Dalam pilihanraya 8 Mac tahun lalu, Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi. Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, S Krishnan yang mendapat 10,863 undi.

Manakala kertas pencalonan Saiful Izham yang mewakili PKR ditolak SPR atas sebab-sebab teknikal.

Arumugam kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi kerusi tersebut pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) pada 14 Mac lalu.

Beliau adalah timbalan pengerusi MIC Kedah, Datuk S Ganesan. Beliau adalah bekas Adun Lunas dan tidak bertanding dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Beliau yang dilahirkan di ladang Sungai Division di Sungai Petani, adalah lulusan Universiti Malaya dalam jurusan ekonomi sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di London.

Ganesan kini merupakan seorang peguam mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup dengan R Vatsala, 42, yang juga merupakan seorang peguam.

Terdapat 35,140 pengundi layak mengundi di DUN Bukit Selambau, dengan lebih 50 peratus merupakan pengundi Melayu.

Tiada ulasan: