Sabtu, 21 Mac 2009

Majlis Peguam sedia jawab pertuduhan MAIS

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Majlis Peguam bersedia menjawab pertuduhan di mahkamah jika disaman oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana mengadakan tinjauan pendapat di laman web berhubung larangan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam.

Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, pihaknya bagaimanapun belum menerima sebarang notis atau writ saman daripada MAIS sehingga sekarang.

"Kami bersedia membela diri di mahkamah dengan fakta-fakta kukuh sekiranya MAIS mahu mengambil tindakan undang- undang terhadap kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Peguam kerana mengadakan tinjauan pendapat berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dalam laman web badan itu baru-baru ini.

Mohamad Adzib berkata, penyiaran tinjauan pendapat tersebut adalah subjudis memandangkan penggunaan kalimah Allah masih lagi belum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Menurut beliau, pengunaan kalimah itu oleh badan berkenaan juga dikhuatiri boleh menggugat sensitiviti umat Islam serta melanggar undang-undang agama Islam Selangor yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Sehingga 12 Mac lalu, sebuah portal berita melaporkan lebih 1,000 pengunjung laman web Majlis Peguam telah mengundi dalam tinjauan pendapat berkenaan.

Bagaimanapun, tinjauan pendapat berhubung topik berkenaan telah dikeluarkan daripada laman web berkenaan dan digantikan dengan tajuk lain.

Antara tajuk tinjauan pendapat yang masih dijalankan di laman web Majlis Peguam adalah adakah mana-mana satu kaum tertentu contohnya Muslim mempunyai hak eksklusif untuk menggunakan kalimah Allah?

Ragunath menambah, MAIS perlu mengemukakan bukti kukuh di mahkamah untuk menunjukkan bagaimana tinjauan pendapat yang dijalankan oleh pihaknya itu menyalahi undang-undang negara.

"Kami pula akan bersedia dengan hujah balas untuk mempertahankan tindakan kami," katanya.

Tiada ulasan: