Isnin, 23 Mac 2009

Majlis Peguam diberi amaran henti bincang larangan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Majlis Peguam diberi amaran terakhir supaya berhenti membincangkan larangan penggunaan kalimah Allah atau tinjauan pendapat di laman webnya kerana ia boleh membangkitkan kemarahan seluruh umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah majlis itu adalah tidak bijak kerana isu penggunaan kalimah Allah atau mengenai agama lain bukan sesuatu yang boleh dibincangkan atau dibuat tinjauan.

"Jika mereka meneruskan bermain dengan isu ini orang Islam keseluruhan akan bangun, dan mereka (Majlis Peguam) jangan marah kalau menerima akibat daripada kebangkitan rasa marah di kalangan umat Islam.

"Ini adalah amaran terakhir kepada mereka (Majlis Peguam) dan saya harap mereka takut dengan apa yang diputuskan oleh kerajaan. Hal ehwal agama adalah di bawah Raja-Raja Melayu dan jika mereka terus mempertikai secara tidak langsung mereka mempertikai kuasa Raja-Raja Melayu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata semua pihak terutamanya anggota Majlis Peguam yang terdiri daripada golongan professional harus sedar bahawa isu itu sudah dibawa ke mahkamah dan ia tidak perlu dipolemikkan lagi sehingga keputusan dibuat.

"Malah Kabinet telah memutuskan supaya meletakkan noktah, berhenti daripada membincangkan isu ini dan di Parlimen juga saya telah meletakkan noktah supaya kalimah Allah ini jangan dijadikan sebagai bahan perbincangan.

"Saya harap selepas ini tiada pihak sama ada individu atau organisasi cuba membangkitkan isu ini lagi dan kita terima keputusan mahkamah. Negeri-negeri juga telah mewartakan perkara ini dulu lagi dan saya harap keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan warta larangan penggunaan perkataan Allah yang diperkenalkan oleh Raja-Raja di negeri masing-masing dihormati," katanya.

Tiada ulasan: