Selasa, 10 Mac 2009

Mahkamah tetapkan enam hari untuk perbicaraan perhimpunan haram

BERNAMA


PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menetapkan enam hari bagi perbicaraan 21 individu termasuk tiga wakil rakyat DAP yang menghadapi tuduhan terbabit dalam perhimpunan haram dan mengingkari perintah bersurai pada Oktober tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob menetapkan perbicaraan pertama berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 November ini sementara selebihnya dari 8 hingga 10 Disember ini.

Tiga wakil tersebut ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kim Wee, 37; Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, 51 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor kawasan Kampung Tunku, Lau Weng San, 31; serta 18 individu yang lain.

Mereka didakwa menyertai perhimpunan haram di Laman MBPJ di hadapan Bangunan Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ), Jalan Yong Shook Lin, di sini, antara 9.50 malam dan 10.10 malam 9 Oktober 2008 lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa sebagai anggota satu perhimpuan yang menyalahi undang-undang, mengingkari perintah bersurai yang diberikan oleh seorang pegawai polis, Superintenden Mohamad Sulong, pada masa dan tempat yang sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 27(5)(a) dan Seksyen 27(4) Akta Polis 1967 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara maksimum setahun bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang nelayan, Syed Ahmad Syed Hassan, 34, yang berasal dari Muadzam Shah, Pahang, mengaku tidak bersalah melakukan kedua-dua pertuduhan serupa dengan 21 individu lain di tempat dan masa yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan memohon supaya kes Syed Ahmad dibicarakan bersama dengan kes 21 individu tersebut.

Rozina kemudian membenarkan kes tersebut dibicarakan bersama dan menetapkan ikat jamin RM1,500 bagi Syed Ahmad dengan seorang penjamin.

Syed Ahmad diwakili peguambela Gobind Sigh Deo.

Tiada ulasan: