Ahad, 22 Mac 2009

LIMBANG: BUKTI KECUAIAN AKTOR UTAMA DASAR LUAR MALAYSIA?

Ruhanie Ahmad


Aktor utama hubungan dan dasar luar sesebuah negara perlu pintar, articulate, berani dan proaktif. Contohnya adalah Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tunku Abdul Rahman membebaskan Malaysia daripada dominasi ketenteraan Barat. Beliau mengikat perjanjian pertahanan dengan Britain melalui Anglo-Malayan Defense Agreement (AMDA) semata-mata untuk melindungi negara ini daripada ancaman Parti Komunis Malaya (PKM). Tetapi, Tunku Abdul Rahman enggan menyertai pakatan ketenteraan multilateral South East Asian Treaty Organisation (SEATO) yang dianggotai oleh AS, Britain, Australia dan beberapa negara Asia. Ini kerana Tunku Abdul Rahman tidak redha AS memanipulasikan Malaysia di era Perang Dingin.

Tun Razak memperkenalkan konsep ZOPFAN supaya Malaysia dan ASEAN terbebas daripada dominasi ketenteraan asing di era Perang Vietnam dan Perang Dingin. Tun Razak juga menerokai hubungan diplomatik Malaysia-China sesudah China tidak lagi bersekutu dengan Russia tetapi berbaik-baik dengan AS. Tun Razak bertindak demikian untuk memelihara keselamatan dan survival Malaysia.

Tun Hussein pula berhempas-pulas mengimbangi kemaraan Russia yang bersengketa dengan China sewaktu Perang Vietnam. Beliau membantah penglibatan Russia di Vietnam dan membangkang China membantu Vietnam. Sesudah itu Tun Hussein melawat Beijing dan Moscow untuk menyejukkan hati kedua-dua negara besar berkenaan. Tun Hussein bertindak begitu untuk memelihara neutrality dan keseimbangan dasar dan hubungan luar Malaysia-China, Malaysia-Russia dan Malaysia-AS.

Tun Mahathir pun bijak menangani masalah hubungan dan dasar luar Malaysia. Beliau bersikap proaktif untuk berbaik-baik dengan negara membangun dan miskin menerusi kerjasama Selatan-Selatan bagi menyekat penindasan Barat ke atas Dunia Ketiga. Tun Mahathir juga berani dan tegas terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS) yang cuba mengheret Malaysia menyertai pakatan ketenteraan internasional untuk menyerang Afghanistan dan Iraq menerusi Perang Anti Keganasan Global. Beliau juga berani menempelak Britain sewaktu negara itu melayani Malaysia sebagai tanah jajahannya.

Tetapi, mengapakah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang pernah menjadi Menjadi Menteri Luar seolah-olah sambil lewa dengan soal-soal diplomasi dan diplomatik? Terbaru sekali adalah mengenai isu Limbang. Mengapakah terkeluar kenyataan beliau bahawa isu Malaysia-Brunei mengenai Limbang sudah selesai? Dan, setelah kenyataan beliau dinafikan oleh pihak Brunei, mengapakah hari ini beliau buat cerita lain mengenainya?

Tidakkah sikap aktor utama dasar luar seperti ini menyebabkan kredibiliti Malaysia tejejas? Mengapakah jadi begini? Adakah ini akibat salah nasihat oleh Wisma Putra atau akibat kesilapan Datuk Seri Abdullah sendiri?

Tiada ulasan: