Jumaat, 6 Mac 2009

Letak jawatan kalau tidak mahu diwakili Penasihat Undang-undang

SIASAH DAILY


IPOH : Peguam tiga Adun bebas Perak, Mohd Hafarizam Harun berkata, jalan keluar bagi Speaker Dun Perak, V Sivakumar supaya dia boleh diwakili peguam pilihannya adalah meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

Kalau tidak, sebagai Speaker, berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, dia mesti diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Ahmad Kamal Shahid.

"Jalan keluar sekarang adalah Speaker meletakkan jawatan sekarang dan lantik peguam pilihannya," kata Hafarizam kepada wartawan.

Hafarizam berkata demikian kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim, memutuskan Sivakumar mesti diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri.

Ridwan membuat keputusan itu didalam kamarnya berdasarkan tiga sebab:

1) Gaji Speaker dibayar oleh kumpulan wang yang disatukan di bawah kerajaan negeri.

2) Cawangan legislatif (Dun Perak) adalah sebahagian dari kerajaan berdasarkan Perlembagaan Perak.

3) Speaker adalah pejawat awam berdasarkan undang-undang yang berkaitan dan sebahagian dari kerajaan negeri.

Tiga Adun Bebas, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) memfailkan saman ke atas V Sivakumar atas dakwaan membuat perisytiharan bahawa kerusi mereka kosong dengan menggunakan surat tanpa tarikh.

V Sivakumar melantik beberapa hakim termasuk pakar perlembagaan, Tommy Thomas bagi mewakili beliau dalam kes ini namun Ridwan menolak mereka dan membuat ketetapan Speaker mesti diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri.

Sebelum ini, dalam saman Menteri Besar PR, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin terhadap Menteri Besar BN, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Penasihat Undang-undang itu mewakili Dr Zambry.

Kini, Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan, Penasihat Undang-undang itu mesti mewakili V Sivakumar dan menolak peguam-peguam lain yang dilantik Sivakumar sendiri.

Tiada ulasan: