Khamis, 5 Mac 2009

Krisis Perak: Pergelutan kes mahkamah terus jadi tumpuan hari ini

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


IPOH: Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Ridwan Ibrahim hari ini memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar hanya boleh diwakili Penasihat Undang-undang Negeri berhubung kes saman yang dikemukakan oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Bebas (ADUN).

Ia merupakan keputusan kedua-dua berturut-turut daripada Ridwan dalam tempoh tiga dan dilihat sebagai tamparan kepada Pakatan Rakyat, yang Sivakumar merupakan salah seorang wakil rakyat ikatan pembangkang itu.

Kelmarin Ridwan telah memutuskan sedemikian dalam kes yang dibawa oleh Menteri Besar Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya.

Peguam-peguam Pakatan Rakyat berhujah bahawa perwakilan Penasihat Undang-undang Negeri akan menyebabkan kewujudan elemen konflik kepentingan memandangkan Penasihat Undang-undang Negeri juga mewakili Zambry dalam kes dibawa oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Kes terbaru ini difailkan oleh ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) terhadap Sivakumar yang mengisytiharkan kerusi mereka kosong disebabkan surat letak jawatan tidak bertarikh.

Pada 5 Februari lalu, Sivakumar memfailkan kes di Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan bahawa surat letak jawatan ketiga-tiga ADUN berkenaan dari Pakatan Rakyat - yang telah keluar parti dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas, adalah sah.

Ketiga-tiga mereka telah keluar daripada parti mereka iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi kekal kerusi masing-masing sebagai ADUN Bebas. Tindakan mereka hujung Januari lalu telah membawa kepada krisis politik yang berterusan sehingga sekarang, termasuk membolehkan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Ketiga-tiga ADUN berkenaan diwakili oleh peguam Umno, Datuk Mohd. Hafarizam Harun.

Isnin lalu, Zambry dan enam Exco kerajaan negeri memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Dalam saman pemula yang difailkan petang tadi, Zambry dan enam Exco berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan dan selama 12 bulan terhadap enam Exco berkenaan adalah menyalahi Undangundang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini memutuskan kes ketiga-tiga ADUN berkenaan akan didengar pada Rabu ini manakala saman Zambry dan enam Exconya pula akan didengar pada 23 Mac.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan esok untuk merujuk kes semakan kehakiman Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mencabar kesahihan Zambry sebagai Menteri Besar Perak ke Mahkamah Persekutuan untuk kepastian persoalan undang-undang.

Tiada ulasan: