Isnin, 23 Mac 2009

Kos RazakSAT RM150 juta

MY METRO


KUALA LUMPUR: RazakSAT, satelit kedua negara yang bakal dilancarkan 21 April ini, menelan kos RM150 juta dengan pemindahan kepakaran teknologi dari Jepun dan Korea Selatan serta usaha penyelidikan dan pembangunan syarikat tempatan, Astronautic Technology (M), Sdn Bhd (ATSB).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili, berkata kos menyeluruh projek pembangunan satelit itu jauh lebih murah berbanding membeli satelit yang siap dari luar negara.

“Ini membuktikan kemampuan saintis tempatan mengorak langkah ke mercu teknologi angkasa lepas,” katanya sebelum majlis melepaskan RazakSAT yang diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Subang, dekat sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi ATSB, Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Satelit seberat 190 kilogram itu diterbangkan menggunakan pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menuju ke tapak pelancarannya di Bucholz Army Field, Kepulauan Kwajalein, Republik Kepulauan Marshall, berhampiran Guam, Amerika Syarikat.

Pesawat yang dipandu juruterbang TUDM, Leftenan Kolonel Raja Mohar Raja Bahari, itu berlepas kira-kira jam 10.30 pagi dengan membawa 17 pegawai TUDM serta 21 kakitangan ASTB.

Dalam perjalanan selama 20 jam itu, pesawat itu akan melakukan dua persinggahan iaitu di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sabah dan Pangkalan Tentera Udara Andersen, Guam sebelum tiba di Kepulauan Kwajalein.

Ongkili berkata, satelit itu adalah satelit kelas mini Orbit Rendah Bumi (LEO) yang membawa muatan elektro-optikal, kamera jenis Medium Aperture Camera (MAC) yang boleh mengesan objek saiz sekecil 2.5 meter.

Katanya, Perdana Menteri dan semua anggota Kabinet dijangka menyaksikan acara pelancaran bersejarah berkenaan dari Pusat Angkasa Negara di Kampung Sungai Lang, Banting, Selangor, pada hari berkenaan.

RazakSAT, sempena nama Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, adalah satelit remote sensing pertama yang akan dilancarkan ke orbit Hampir Khatulistiwa (NEqo).

Selain itu, dua satelit kecil iaitu CubeSAT dan InnoSAT juga akan dilancarkan bersama RazakSAT untuk tujuan penyelidikan, di samping berfungsi menstabilkan kedudukan RazakSAT di orbit.

Satelit itu akan dilancarkan ke orbit menggunakan kenderaan pelancar Falcon-1 milik SpaceX dari Amerika Syarikat.

Tiada ulasan: