Rabu, 11 Mac 2009

K'jaan tidak pertikai keikhlasan GMP

MALAYSIA KINI


Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan tidak pernah mempertikaikan keikhlasan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) yang membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kita juga ingin perjuangkan dan perkasakan bahasa kebangsaan, (tapi) bila ia dibawa ke tepi jalan, dipolitikkan, itu akan mengeruhkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 di Dewan Rakyat hari ini.

Sabtu lalu, satu perhimpunan yang asalnya bertujuan bagi GMP menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan yang turut disertai pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjadi kecoh setelah penyokong gerakan itu berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara walaupun tidak mendapat permit polis, lapor Bernama.

Mengulas kenyataan Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad semalam yang menafikan bahawa mereka didalangi pihak tertentu termasuk pembangkang dalam isu bantahan itu, Hishammuddin berkata beliau sentiasa menerima sebarang pandangan dan cadangan daripada mereka.

"Janganlah kita benarkan apa yang berlaku pada dua hari lepas kerana ia jelas ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan," katanya.

Hishammuddin berkata bahawa apa yang penting dalam membuat keputusan berhubung PPSMI ialah kemampuan di sekolah rendah, sekolah luar bandar dan kemampuan guru-guru.

Tiada ulasan: