Isnin, 2 Mac 2009

Khairy: "Saya bukan juvenile, tapi Karpal senile"

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini menasihatkan 700,000 anggotanya supaya tidak membuat konfrontasi atau keganasan secara fizikal yang boleh mencetuskan kekacauan.

Beliau berkata, pergerakan itu tidak pernah menggalakkan atau mengizinkan perlakuan sedemikian di kalangan anggotanya.

"Tetapi pada masa yang sama, saya ingin katakan bahawa semua ini tercetus kerana keceluparan Karpal Singh di Dewan Rakyat.

"Saya rasa Karpal Singh perlu berhati-hati, jangan mainmain dengan Pemuda Umno, dengan sentimen akar umbi sebab saya rasa kemarahan ini memang serius dan beliau harus berhatihati dengan apa yang dia cakap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal Terbuka Belia Seputeh di sini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden kekecohan di Parlimen, Khamis lepas yang membabitkan 30 anggota Pemuda Selangor dan Karpal, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor dan pengerusi DAP.

Karpal minggu lepas melabelkan Pemuda Umno sebagai "celaka" dan mendakwa pergerakan itu menghantar dua butir peluru melalui pos ke rumahnya.

"Tapi kita kena mengakui bahawa kemarahan ini berpunca daripada kenyataan yang dibuat Karpal Singh di Dewan Rakyat dan saya telah mencabar beliau untuk membuktikan bahawa peluru pistol yang dihantar kepadanya itu datang daripada Pemuda Umno," kata Khairy.

Beliau berkata, Karpal diberi tempoh 24 jam untuk membuktikan tuduhan itu tetapi sehingga kini beliau gagal berbuat demikian, sebaliknya peguam veteran itu menyifatkan Khairy sebagai seorang "budak kecil" yang "juvenile".

"Terdapat kesilapan contoh yang dibuat oleh Karpal Singh, mungkin kepada beliau saya budak kecil, tetapi sekurang-kurangnya saya tidak mengikut seperti beliau... saya tidak buat tuduhan yang tidak berasas... dan kalau saya budak kecil yang juvenile, mungkin beliau adalah seorang orang tua yang 'senile'," katanya.

Beliau berkata, keceluparan Karpal di Dewan Rakyat telah mencetuskan keadaan tegang sehingga mengakibatkan sekumpulan 30 anggota Pemuda Umno Selangor mengambil tindakan nekad untuk berdepan dengan ahli politik veteran itu bagi meminta penjelasan mengenai perkataan "celaka" dan tuduhan terhadap Pemuda Umno.

"Ini tuduhan yang cukup serius, cukup kesat... ini saya istilahkan sebagai politik longkang dan macam mana kita hendak kawal emosi dan sentimen sebilangan daripada 700,000 ahli Pemuda, itu baru 30 orang, jadi saya rasa Karpal Singh perlu berhati-hati dengan apa yang dia cakap selepas ini," katanya.

Khairy berkata, beliau percaya Pemuda Umno bukanlah pihak yang memulakan kekacauan dalam insiden di Parlimen itu dan terpulanglah kepada Parlimen untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah.

Beliau juga berkata, Pemuda Umno telah menyediakan peguam untuk membela anggotanya yang terlibat dalam insiden itu.

Tiada ulasan: