Selasa, 3 Mac 2009

Kes khalwat ditunda, Norman-Memey lantik peguam sama wakili mereka

MSTAR ONLINE
[SEMASA]


KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini memutuskan kes khalwat di antara Memey Suhaiza dan Norman Hakim dibawa ke 7 April untuk memberi peluang kepada pendakwa syarie untuk mengkaji representasi kedua-dua tertuduh ini.

Memey dan Norman diwakili oleh peguam syarie yang sama iaitu, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Pasangan Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan pelakon baru Memey atau nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi pada 30 Oktober 2008.

Pertuduhan terhadap Norman-Memey difailkan pada bulan Januari, tahun ini.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Hakim Wan Mahyuddin membenarkan Memey dan Norman, masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin kakitangan awam dan menetapkan hari ini untuk perbicaraan kes.

Kedua-dua mereka tetap dengan keputusan menafikan yang mereka bersalah terhadap pertuduhan itu.

Namun, pada bulan lepas ketika kes ini diperingkat penyelenggaraan, pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi memberitahu mahkamah beliau akan membawa enam saksi pada perbicaraan hari ini untuk membuktikan Norman dan Memey sebenarnya bersalah.

Norman ketika ditemui berkata mereka mempunyai alasan tersendiri kenapa melantik peguam yang sama mewakili mereka.

"Disebabkan kami selebriti jadi kes ini sudah jadi 'high-profile' dan saya yakin dari sudut pihak pendakwaan mereka akan merundingkan perkara ini," kata Norman.

Tambah beliau lagi, "Kami melantik peguam yang sama kerana kami menghadapi pertuduhan yang sama dan senang untuk mengendalikan kes ini.

"Kiranya sekarang ini peringkat representasi. Peguam kami telah membawa kes ini kepada pihak pendakwa syarie dan mereka pula akan membawa kes ini untuk didengar pada 7 April nanti."

Jelas Norman, "Antara representasi yang kami baru terima tadi adalah dari sudut kamidicaj di bawah Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama maksudnya berdua-duaan dalam satu tempat dalam keadaan mencurigakan tetapi sebenarnya apa yang berlaku ada seorang di tingkat 1 dan ada seorang lagi di tingkat 2."

Sementara itu, Memey pula berkata, "Saya hanya menunggu kes ini diselesaikan oleh pihak peguam.

"Memang saya harapkan kes ini cepat selesai. kes ini ada pro dan kontranya sebab itu kami melantik peguam yang sama. Saya rasa kita perlu beri masa untuk membuat satu-satu keputusan.

"Apa-apa pandangan yang baik, kami akan ikut. Apapun kami harap kes ini cepat selesai kerana ia melibatkan karier kami," jelas Memey yang sedang menjalani pengambaran filem 'Dimensi Cinta' dan drama 'Roda-roda Kuala Lumpur.'

Memey dan Norman dilihat datang ke mahkamah secara berasingan seawal pukul 9.05 pagi.

Memey ditemani oleh ibu saudaranya manakala Norman hadir bersama ibu, abang dan abang iparnya.

Tiada ulasan: