Khamis, 12 Mac 2009

Kerusi Parlimen Pensiangan ditentukan Jumaat ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Adakah ada lagi satu pilihan raya kecil selepas Bukit Gantang, Perak, Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai, Sarawak yang dijadual berlangsung serentak pada 7 April?

Ini nampaknya persoalan yang diajukan oleh penganalisis politik dan anggota parti politik semasa menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat ini mengenai rayuan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding untuk kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas, sebagai batal dan tidak sah.

Kurup, telah memfailkan rayuan itu pada 17 September, 2008.

Mahkamah Persekutan sepatutnya memberikan keputusannya pada 12 Feb tetapi telah menangguhkan penghakiman sehingga Jumaat ini setelah mendengar hujah-hujah daripada Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi dan peguam-peguam untuk Kurup dan Danny Anthony Andipai bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya sendiri akan berada di sana untuk mendengar keputusan. Saya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Apa sahaja keputusan, saya bersedia.

"Walaupun jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan raya, saya bersedia untuknya sejak Julai tahun lepas, saya telah buat segala persediaan," kata Kurup memberitahu Bernama di sini, Rabu.

Sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan raya, satu lagi pilihan raya kecil tidak dapat dielakkan.

Beberapa penganalisis politik berkata bahawa jika ini berlaku, senario ini sama seperti sebuah "mini pilihan raya nasional" kerana buat pertama kali dalam sejarah Malaysia pilihan raya kecil diadakan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, isu lain masih menunggu yang mungkin menyebabkan satu lagi pilihan raya kecil ialah taraf anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan di Selangor, Elizabeth Wong.

Wong, 37, diminta bercuti selepas beliau menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai anggota EXCO Selangor dan ADUN Bukit Lanjan berikutan isu gambar kontroversinya yang disiarkan di Internet bulan lepas.

Polis masih menyiasat kes ini.

Wong juga memohon untuk bercuti daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-12 bagi penggal kedua yang bermula semalam.

Beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 17 Feb.

Status beliau masih belum jelas dan pemimpin parti PKR apabila dihubungi hanya boleh mengatakan bahawa beliau sedang bercuti dan enggan mengulas lanjut.

"Beliau masih bercuti. Jangan mentafsirkan yang bukan-bukan. Ia hanya satu bahasa yang mudah, bahawa beliau sedang bercuti sehingga diberitahu kelak," kata naib presiden PKR Azmin Ali ketika dihubungi.

Sama ada ini merupakan "mini pilihan raya nasional" akan berlaku atau tidak, akan dilihat, tetapi satu perkara yang pasti senario politik di negera ini menjadi lebih menarik.

Tiada ulasan: