Khamis, 26 Mac 2009

KDN digesa tarik balik penggantungan permit Harakah dan Suara KeADILan - Suhakam

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR -Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(Suhakam) menggesa Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar menarik balik penggantungan permit tiga bulan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Naib Pengerusi Suhakam, Tan Sri Dato' Seri Panglima Simon Sipaun, Pesuruhjaya , Dato' Dr Michael Yeoh dan Dato Khalid Ibrahim, tindakan tersebut amat dikesali.

"Suhakam prihatin dengan tindakan Menteri Dalam Negeri menggantung tiga bulan permit penerbitan Suara Keadilan dan Harakah tanpa sebarang alasan.

"Tindakan penggantungan disifatkan sebagai mencabuli hak kebebasan bersuara, menemberi pendapat serta mendapatkan maklumat sebagaimana termaktub dalam Deklarasi Umum Hak Asasi Asasi Manusia 1948 (UDHR)," kata kenyataan tersebut.

Terdahulu semalam, Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum bantahan kepada Suhakam berhubung penggantungan permit Harakah dan Suara Keadilan.

Ketia-tiga parti gabungan Pakatan Rakyat diwakili oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Mahfuz Omar, Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua dan Timbalan Setiausaha Publisiti Nasional DAP Teo Nie Ching.

Mahfuz dalam ucapan ringkasnya mendesak agar dihapuskan kuasa Menteri Dalam Negeri menggantung atau menarik balik permit sesebuah akhbar.

"Sudah tiba masanya kuasa memberi dan menarik permit sesebuah penerbitan bercetak diserahkan kepada mahkamah bukan kepada menteri.

"Jika kuasa masih berada di tangan menteri, apa yang berlaku hari ini akan berulang lagi di mana tindakan menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan yang jelas bermotif politik," tegas beliau.

Beliau juga menegaskan Malaysia perlu mencontohi negara-negara maju yang lain di mana sesiapa saja atau mana-mana pertubuhan boleh menerbitkan akhbar dengan syarat perlu sanggup menghadapi risiko diheret ke mahkamah.

Jika situasi itu dibenarkan di negara ini tegas Mahfuz, perkembangan informasi dan sebahagian dari kedaulatan demokrasi dapat ditegakkan.

Sementara itu, Tian Chua pula menegaskan tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri ini dibuat ekoran daripada piliharaya kecil yang bakal diadakan di tiga tempat.

Tegas beliau, KDN hingga hari ini masih gagal membuktikan dimanakah kewajaran tindakan tersebut dibuat dan tidak dapat membuktikan berita atau rencana yang mana yang berunsur fitnah.

"KDN telah bertindak tanpa mempedulikan hasrat rakyat yang mahu merayakan informasi dengan sebebas-bebasnya," tegas beliau.

Manakala Nie Ching pula mendesak agar KDN tidak lagi bertindak seperti hakim yang menghukum mana-mana akhbar yang tidak sehaluan dengan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan untuk menjaga kebebasan media.

"Tindakan KDN ini juga telah menyekat parti-parti pembangkang daripada menyalurkan informasi kepada ahli-ahlinya," tegas beliau.

Harakah dan Suara Keadilan merupakan lidah rasmi PAS dan KeADILan yang digantung permitnya selama tiga bulan bermula 23 Mac lalu manakala DAP yang memiliki akhbar Roket pula tidak disambung permit penerbitan hingga ke hari ini.

Memorandum bantahan Pakatan Rakyat itu diterima oleh Setiausaha Suhakam, Hashimah Nik Jaffar.

Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob, Setiausaha Agung PAS Pusat Dato' Kamaruddin Jaffar, Bendahari PAS Dr Hatta Ramli, Timbalan Ketua Angkatan Muda KeADILan Fariz Musa, Ahli Pimpinan Tertinggi KeADILan Badrul Hisham Shahrain dan beberapa pimpinan lain./wannordin _

Tiada ulasan: