Selasa, 17 Mac 2009

Karpal akan didakwa di mahkamah esok

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Pengerusi DAP, Karpal Singh dijangka akan menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan esok atas dakwaan menghina Sultan Perak.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta kerana mengancam untuk mendakwa Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang dikatakan bertindak di luar bidang kuasanya serta membenarkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru.

Bernama melaporkan anak lelaki beliau, Ram Karpal Singh mengesahkan bapanya telah menerima notis untuk hadir pada pukul 9 pagi esok bagi menghadapi dakwaan mengikut Akta Hasutan.

"Kami dimaklumkan bahawa ia di bawah Akta Hasutan 1948 tetapi kami tidak tahu Seksyen mana...biasanya ia di bawah Seksyen 4," katanya.

Karpal dilaporkan mengeluarkan kenyataan tersebut pada 6 Februari lalu.

Ekoran itu, pelbagai parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tampil membuat laporan polis terhadap beliau di seluruh negara.

Bagaimanapun ini bukan kali pertama Karpal menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Karpal sebelum ini bertegas mahu memfailkan kes mahkamah ke atas Sultan Azlan Shah kerana menitahkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau tetap mempertahankan pendiriannya untuk menyaman Sultan Perak dengan alasan tindakannya itu tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang.

Tiada ulasan: