Jumaat, 20 Mac 2009

Kalimah Allah: MAIS mahu saman Majlis Peguam

Oleh ABDUL YAZID ALIAS


SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Peguam kerana mengadakan tinjauan pendapat berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dalam laman web badan itu baru-baru ini.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, penyiaran tinjauan pendapat tersebut adalah subjudis kerana pengunaan kalimah itu masih lagi belum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Katanya, pengunaan kalimah itu oleh badan berkenaan juga dikhuatiri boleh menggugat sensitiviti umat Islam serta melanggar undang-undang agama Islam Selangor yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Tindakan badan ini (Majlis Peguam) adalah subjudis kerana persoalan berhubung kalimah itu masih belum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam permohonan semakan kehakiman oleh Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur terhadap Kementerian Dalam Negeri, kerajaan Malaysia dan majlis agama Islam negeri-negeri.

“Maka, MAIS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Peguam kerana penyiaran undian ini menyentuh sensitiviti umat Islam dan menyalahi Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Penyebaran Di kalangan Orang Islam) 1998.

“Ini kerana, berdasarkan Seksyen 9 di bawah Enakmen itu menyebut, adalah satu kesalahan sekiranya ada mana-mana orang sama ada Islam atau bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam memperihalkan kepercayaan sesuatu agama bukan Islam,” kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Adzib menjelaskan, MAIS juga telah mengharamkan sebarang bentuk penyiaran atau dendangan lagu Allah Peduli yang dinyanyikan oleh penyanyi Indonesia, Agnes Monica di negeri itu.

Katanya, pengharaman itu dibuat kerana mendapati lirik dalam lagu tersebut sama seperti Allah bagi penganut umat Islam.

Bagaimanapun, pada akhir lirik lagu berkenaan terselit ungkapan Allah Yesusku yang membuktikan bahawa Allah yang dimaksudkan dalam lagu itu ialah Allah yang memperanakkan Jesus iaitu kepercayaan penganut Kristian.

“Ini merupakan salah satu penyelewengan kepada kalimah Allah yang merupakan zat Maha Suci lagi Esa yang dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam,” jelasnya.

Tiada ulasan: