Isnin, 23 Mac 2009

Kadar Shah Buat Aduan Terhadap Umno Kepada Pendaftar Pertubuhan Esok

pemudasarawak


Salah seorang perwakilan ke Persidangan Agung Umno dari Bahagian Muar, Johor, Datuk Kadar Shah Sulaiman akan membuat aduan secara rasmi kepada Jabatan Pertubuhan Pendaftar (ROS) di Putrajaya esok bagi mendesak agensi tersebut mengambil tindakan terhadap parti itu berhubung kes politik wang dan perwakilan yang berstatus muflis.

Beliau dijangka menyerahkan surat aduan bersama-sama anak bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Mazlan Harun yang merupakan bekas Exco Pemuda Umno.

Ketika dihubungi TV Antara, Kadar Shah berkata beliau mahu ROS bertindak segera ke atas masalah politik wang yang tidak mampu diselesaikan oleh Umno dan wujudnya dakwaan lebih 400 perwakilan yang telah diisytiharkan bankrap menghadiri perhimpunan agung parti yang bermula esok sehingga 28 Mach di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

“ROS mesti ambil tindakan segera kerana apa yang berlaku sekarang Umno seolah-olah tidak memperdulikan ratusan kes rasuah yang disiasat oleh Lembaga Disiplin.

“Malah ahli yang didapati bersalah berkaitan politik wang masih dibenarkan menghadiri persidangan dan mengundi.

“Ini bertentangan dengan tata etika parti yang menyatakan mana-mana ahli yang didapati bersalah berhubung politik wang atau diberi amaran keras tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat agung Umno,” tegas beliau.

Beliau merujuk kepada larangan bertanding ke atas calon timbalan presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang didapati bersalah mengamalkan politik wang semasa berkempen dan calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang melanggar peraturan parti tetapi hanya diberi amaran keras.

Lembaga Disiplin dilaporkan menerima lebih 900 kes rasuah menjelang perhimpunan agung tetapi hanya sebahagian kecil sahaja kes yang disiasat setakat ini.

Ditanya sama ada beliau tetap meneruskan cadangan mendapatkan perintah injunksi daripada mahkamah bagi menghalang Umno dari mengadakan perhimpunan tahun ini, Kadar Shah menjelaskan langkah tersebut akan diambil setelah ROS menjalankann siasatan terhadap aduan yang dikemukakan.

“Selepas ROS siasat aduan baru injunksi boleh diambil. Walaupun selepas Umno selesai bersidang perintah mahkamah untuk membatalkan persidangan itu masih boleh diambil.

“Ini bermakna persidangan Umno tahun ini akan terbatal dan dianggap tidak sah termasuk semua pemilihan pucuk pimpinan parti,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: