Isnin, 9 Mac 2009

Isu PPSMI ke perhimpunan

Oleh AZRAN FITRI RAHIM


KOTA BHARU - Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dibincangkan dalam usul pendidikan ketika Perhimpunan Agung UMNO pada 24 sehingga 28 Mac ini.

Menurut Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PPSMI sebelum ini sering dibincangkan di Kabinet dan peringkat Majlis Tertinggi parti.

Sehubungan itu, katanya, semua pandangan mengenainya telah dikumpulkan oleh parti dan akan dibincangkan dalam perhimpunan berkenaan.

''Kita tidak mahu orang kata UMNO tidak memperjuangkan bahasa Melayu, sedangkan sejak dari dahulu kita sentiasa mempertahankannya,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, pada perhimpunan itu juga para perwakilan dijangka membincangkan mengenai isu raja-raja Melayu yang pada masa ini dipertikaikan oleh pihak pembangkang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul memberitahu, sebanyak tiga usul akan dibahaskan pada perhimpunan tersebut iaitu ucapan presiden, ekonomi dan pendidikan serta agama.

Kata Muhyiddin, draf akhir usul tersebut telah siap dan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan sebelum dibincangkan dalam mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi.

Katanya, ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menjadi tumpuan kerana ia merupakan amanat terakhir sebelum beliau menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita sedar UMNO berada dalam keadaan mencabar dan usaha penambahbaikan serta meningkatkan semula imej di khalayak orang Melayu sedang diusahakan.

''Jadi perhimpunan agung ini akan menjadi medan untuk perwakilan mencurahkan idea dan pendapat,'' katanya.

Tambahnya, perhimpunan tersebut juga akan menjadi medan untuk meningkatkan semula imej Barisan Nasional yang kini berada dalam keadaan kritikal terutama parti-parti komponen lain yang hilang keyakinan daripada kaum Cina dan India.

Sementara itu, Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dalam kenyataannya berkata, UMNO akan tetap mempertahankan kedudukan bahasa Melayu.

Sehubungan itu beliau yakin, isu PPSMI akan disentuh oleh perwakilan pada perhimpunan agung UMNO hujung bulan ini.

Beliau berkata, isu PPSMI sedang ditangani oleh pihak kerajaan dan tidak perlu mana-mana pihak mengadakan demonstrasi jalanan.

"Isu ini nampaknya cuba dieksploitasi oleh pihak pembangkang dan ia patut dihentikan segera," tegasnya.

Tiada ulasan: