Jumaat, 20 Mac 2009

Isu lembu, Lexus tetap disiasat

SINAR HARIAN


SHAH ALAM – Isu Lembu, Lexus dan pasir yang melibatkan adik Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim juga tidak terlepas dari siasatan sekiranya fail-fail yang berkaitan kes terbabit dirujuk kepada Jawatankuasa Pili-han Khas ke atas Keupa-yaan, Kebertanggungjawa-ban dan Ketelusan (Selcat).

Timbalan Pengerusi Selcat, Haniza Mohamed Talha berkata, mana-mana kes yang dirujuk kepada Selcat tetap disiasat dan akan dilakukan secara berperingkat mengikut hasil maklumat yang diperoleh.

Menurut beliau, kes Balkis didahulukan berbanding kes lain memandangkan segala maklumat dan fail-fail maklumat berkaitan telah diserahkan kepada Selcat lebih awal lagi.

“Selcat memanggil mereka kerana hanya mahu menyiasat kerana fail-fail maklumat mengenai isu Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) telah dirujuk kepada Selcat tahun lalu.

“Selcat bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi hanya mahu menyiasat kes yang melibatkan kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, tujuan Selcat bagi mengenal pasti kelemahan dalam urus tadbir yang boleh diperbaiki.

Haniza berkata, Selcat juga ingin melihat bagaimana dapat mengelakkan kelemahan itu di masa akan datang dalam pentadbiran negeri dalam usaha mewujudkan urus tadbir yang lebih mantap dan telus.

“Kita hanya ingin menyiasat adakah wang penajaan yang disalurkan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Sejauh mana pengurusan wang penajaan itu, adakah mengikut peruntukan yang betul?,” katanya.

“Selepas hampir 11 kali bermesyuarat, Selcat memutuskan untuk memanggil 11 saksi untuk memberi keterangan berhubung isu Balkis,” katanya.

Haniza turut memaklumkan Selcat akan mengadakan siasatan seterusnya berhubung kes perbelanjaan peruntukan setengah juta oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dalam masa dua bulan sahaja sebelum 8 Mac 2008.

Ketika ditanya adakah tindakan penjara 12 bulan dan denda RM3,000 mengikut Seksyen 3 Enakmen Penghinaan Dewan 2008 telah diwartakan, beliau memaklumkan bahawa enakmen tersebut telah pun diwartakan dan perlu dipatuhi semua pihak.

Tiada ulasan: