Ahad, 15 Mac 2009

Isu AIMST: Samy Vellu perjelas kenyataan kepada polis

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini menjelaskan bahawa kenyataan yang diberikan beliau kepada polis semalam adalah mengenai Tabung Tsunami Sri Lanka RM2 juta dan bukannya mengenai dakwaan penyelewengan kewangan bagi pengurusan bangunan dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) seperti dilaporkan media.

"Saya ingin menjelaskan bahawa pegawai polis yang datang berjumpa saya di ibu pejabat MIC hanya mahu mengambil kenyataan saya mengenai dakwaan dibuat oleh CEO Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), P. Chitrakala mengenai Tabung Tsunami Sri Lanka RM2 juta itu," kata Samy Vellu dalam kenyataan di sini.

Katanya semasa tsunami melanda beberapa negara jiran, beliau mengusahakan pengumpulan dana itu daripada penderma di bawah naungan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"Kami mengumpulkan sejumlah RM5,595,362.01. Kami kemudian mengeluarkan sebanyak RM1 juta kepada kerajaan Sri Lanka, sebanyak RM1 juta kepada Tamil Rehabilitation Organisation dan RM1.7 juta kepada Tabung Bantuan Tamil Nadu.

"Penyaluran bantuan itu dibuat melalui pejabatpejabat CIDB. Baki RM1,895,362.01 diperuntukkan bagi pembinaan sebuah sekolah teknikal di Vellati di Jaffna di bawah Tamil Relief Organisation," katanya.

Samy Vellu berkata pelan seni bina sekolah itu telah disiapkan tetapi sebelum pelan itu sempat diluluskan oleh Tamil Relief Organisation, konflik perang saudara di Sri Lanka memuncak.

Berikutan keadaan itu, dana itu diperuntukkan bagi projek yang akhirnya dibayar oleh CIDB kepada Yayasan Pemulihan Sosial pada Mac 2008 dan diletakkan di bawah penerima deposit tetap, katanya.

"Kadar faedah yang diperoleh setakat Februari 2009, berjumlah RM57,952," katanya.

Tiada ulasan: