Isnin, 9 Mac 2009

Hasil bedah siasat perlu dirahsia - Latiff

BERNAMA


KOTA BHARU: Orang ramai perlu memahami dan mengetahui bahawa semua butiran mengenai kes bedah siasat adalah rahsia dan perlu disembunyikan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata apa sahaja maklumat yang diperoleh akan disimpan sehingga pada satu masa yang diperlukan barulah ia didedahkan kepada umum.

"Bukan kami tidak mahu dedahkan ia kepada umum tetapi apabila tiba masanya nanti bagi mengetahui kebenarannya barulah kami mendedahkan ia di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pelancaran Kempen Budaya Korporat Kementerian Kesihatan peringkat Negeri Kelantan di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan orang ramai yang menyatakan kementeriannya cuba menyembunyikan maklumat yang melibatkan sesetengah kes jenayah di negara ini.

Antara contoh kes yang menjadi isu ialah kes mendiang suspek curi kereta mewah yang meninggal dunia semasa tahanan polis, A. Kugan dan kes liwat melibatkan pembantu peribadi Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan.

Dr Abdul Latiff berkata bukan sahaja kes tersebut tetapi semua kes sebelum ini tidak pernah didedahkan kepada sesiapa termasuk media kerana ia adalah satu tanggungjawab.

Menurutnya wajib bagi mereka untuk menyimpan rahsia pesakit dan itulah makna profesionalisme dalam profesion perubatan.

"Rakyat perlu tahu dan faham, bukan kami sajasaja hendak menyimpan rahsia pesakit di mana orang sentiasa beranggapan apa sahaja yang dilaporkan oleh doktor adalah benar," katanya.

Bagaimanapun, katanya ada usaha daripada pihak tertentu yang cuba menghakis kepercayaan itu dengan beranggapan menyimpan sesuatu maklumat bermakna ia adalah salah.

Beliau berkata rakyat mulai beranggapan jika pihaknya menyembunyikan sesuatu maklumat itu bermakna mereka menyimpan perkara yang salah.

Menurutnya beratus bedah siasat dilakukan oleh pakar dan melibatkan kes jenayah di mana semuanya dirahsiakan kecuali ada pihak yang membocorkannya tetapi jika ia berlaku pihak tersebut boleh dikenakan tindakan dan dirujuk kepada Jawatankuasa Etika Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengikut Akta Perubatan 1971.

Tiada ulasan: