Jumaat, 20 Mac 2009

Fitnah: Mahkamah Singapura hukum editor Wall Street Journal

KOSMO ONLINE


SEORANG editor kanan penerbitan berpengaruh Wall Street Journal (WSJ) didenda SD$10,000 kerana menghina mahkamah di negara itu.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Tay Yong Kwang semasa kes itu didengar di Mahkamah Tinggi Singapura semalam.

Melanie Kirkpatrick, timbalan editor akhbar kewangan yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, itu diberi tempoh seminggu untuk membayar denda tersebut.

Kirkpatrick, yang tidak hadir di mahkamah, mengaku bertanggungjawab bagi penerbitan ketiga-tiga laporan yang disiarkan di akhbar WSJ Asia.

Beliau juga diarahkan membayar kos guaman sebanyak SD$10,000.

Kerana menyiarkan laporan-laporan itu pada Jun dan Julai lalu, syarikat yang menerbitkan WSJ Asia, Dow Jones Publishing (Asia), telah didenda SD$25,000 oleh Mahkamah Tinggi pada November lalu.

Pejabat Peguam Negara Singapura semalam menyatakan ia tidak akan meneruskan kes ke atas dua editor WSJ Asia yang berpangkalan di Hongkong, Daniel Hertzberg dan Christine Glancey.

'Kepentingan awam dalam melindungi (kewibawaan) kehakiman Singapura daripada serangan melulu telah dilaksanakan dengan secukupnya melalui kes ini.

'AG tidak akan meneruskan prosiding (ke atas Hertzberg dan Glancey). Saya mengesahkan tidak akan ada kos (dipertanggungjawabkan ke atas mereka).'

Semalam, Peguam Kanan Utama Singapura, David Chong, memberitahu mahkamah bahawa sabitan ke atas penerbit akhbar itu sahaja 'bukan satu pencegahan mencukupi ke atas editor yang bertanggungjawab terhadap kandungan WSJ Asia'.

Beliau selanjutnya berhujah, dengan memberikan keizinan ke atas penyiaran ketiga-tiga laporan itu, Kirkpatrick telah melakukan kesalahan menghina mahkamah.

Ketiga-tiga laporan terbabit melibatkan rencana mengenai demokrasi di Singapura menyusuli perbicaraan pada Mei lalu bagi menentukan ganti rugi yang perlu dibayar ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan, dan lain-lainnya kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew kerana memfitnah mereka.

Kedua, penyiaran surat Dr Chee kepada setiausaha akhbar Menteri Pembimbing yang menyangkal rencana tersebut.

Ketiga, sebuah rencana oleh Institut Hak Asasi Persatuan Guaman Antarabangsa tentang kehakiman Singapura.

Dow Jones dalam kenyataannya semalam melahirkan rasa kesal pihak 'Peguam Negara tetap meneruskan pendakwaan menghina mahkamah meskipun pihak mahkamah telah mengenakan denda ke atas Dow Jones November lalu'.

Tiada ulasan: