Selasa, 10 Mac 2009

Elizabeth mohon cuti tak hadir sidang DUN

BERNAMA


SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong telah memohon cuti daripada menghadiri persidangan Penggal Kedua DUN Selangor ke-12.

Teng berkata Elizabeth tidak melanggari apa-apa peraturan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri kerana beliau telah memohon cuti daripada menghadiri persidangan DUN kali ini.

"... mengikut peruntukan di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri apabila beliau memohon cuti... Speaker meluluskan cuti sedemikian maka beliau tidak dianggap telahpun tidak hadir ke dewan melebihi enam bulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadiran Elizabeth yang juga Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, pada pembukaan Persidangan DUN oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini hari ini.

Kerajaan Selangor sebelum ini telah melanjutkan permohonan cuti Elizabeth yang menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Exco dan Adun sehingga selesai siasatan polis berikutan penyebaran gambar bogel wakil rakyat itu melalui internet bulan lalu.

Elizabeth, 37, menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 17 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Elizabeth yang juga Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Yong Dai Ying dengan majoriti 5,155 undi bagi kerusi DUN Bukit Lanjan.

Tiada ulasan: