Isnin, 16 Mac 2009

Eli jumpa MB hujung minggu ini

Jimadie Shah Othman


Exco Selangor Elizabeth Wong - yang menjadi mangsa penyebaran foto intimnya - sedang dalam perjalanan pulang dari luar negeri, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kami agak sibuk sekarang. Dewan (Undangan Negeri) sedang bersidang. Saya kena berikan masa yang cukup untuk bertemu (dengan exco) itu.

"(Pada mulanya Elizabeth) ingin datang bertemu (saya) hari ini, tetapi saya cadangkan kepadanya supaya pertemuan itu diadakan hujung minggu ini," kata Abdul Khalid.

Beliau mengulas perkembangan terkini exco itu dalam sidang media selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor rehat tengah hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan berkata, cuti Elizabeth telah tamat, tetapi kerajaan Selangor belum memutuskan kedudukannya sebagai exco dan Adun Bukit Lanjan.

Abdul Khalid juga mendakwa masih menunggu laporan polis berhubung siasatan kes gambar intim exco perlancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar itu.

Ditanya sama ada bolehkah exco bercuti lebih sebulan, beliau berkata, Elizabeth telah mendapat kebenaran rasmi dari Speaker Teng Chang Kim, untuk tidak menghadiri sidang DUN kali ini.

Mengulas pembelian pangsapuri mewah oleh Permodalan Negeri Selangor Bhd (PSNB) di bawah nama bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didakwa wujud kepincangan dalam urusniaga, Abdul Khalid berkata, pegangan pemilikannya hanya bagi tempoh 25 tahun sahaja.

Tunggu penjelasan Bank Negara

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarat pegangan terhad itu dikenakan terhadap pembeli luar dari Mekah.

Menurutnya, walaupun banyak pihak gemar membuat pelaburan di situ atas alasan keagamaan, tetapi keuntungan terhadap pelaburan itu bergantung kepada musim - seperti musim Haji dan Umrah apabila ramai orang mengunjungi Tanah Suci.

Abdul Khalid bagaimanapun enggan mengkelaskan sama ada ia pelaburan yang baik atau tidak.

Beliau juga berkata, masih menunggu penjelasan Bank Negara sama ada urusniaganya mempunyai kaitan dengan transaksi tidak sah, seperti pengubahan wang.

Terdahulu, dalam sidang DUN Selangor pagi tadi, Abdul Khalid menjelaskan perkara yang sama kepada Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) dan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) mengenai perkembangan terkini siasatan kes tersebut.

Mengulas soal pakej rangsangan ekonomi Selangor berjumlah RM50 bilion, menteri besar berkata, sebahagian besarnya akan dibelanjakan bagi usaha pembersihan Sungai Klang yang melibatkan jarak sejauh 120 kilometer.

Katanya, usaha itu akan dapat menambahkan rizab tanah negeri bagi tujuan rekreasi dan pengangkutan, seterusnya merangsang kemasukan pelaburan asing.

Tiada ulasan: