Ahad, 1 Mac 2009

EGM MCA? Presiden, timbalan presiden terkejut

MASTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini menafikan spekulasi bahawa delegasi parti itu merancang untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Timbalannya, Datuk Seri Dr, Chua Soi Lek selepas sambutan ulang tahun ke-60 parti itu di Wisma MCA di sini, Ong berkata, beliau sudah letih untuk menjawab khabar angin tentang hubungannya dengan timbalannya itu.

Ong berkata, beliau telah menyemak dengan ramai anggota jawatankuasa pusat (CC) dan seperti beliau juga, mereka turut terkejut dengan berita tentang EGM itu.

"Tiada EGM... EGM apa. Adakah saya meminta untuk diadakan EGM ataupun sesiapa meminta diadakan EGM?

"Hakikatnya untuk pengetahuan anda, saya ada menyemak dengan anggota CC dan semua turut terkejut," katanya kepada pemberita ketika ditanya tentang spekulasi itu.

"Kadang-kadang ramai termasuk saya... kami terkejut bahawa ada perkara-perkara diputarbelitkan," kata beliau sambil menambah, "bagaimanapun sudah tentu kami tidak dapat menghalang orang untuk melakukannya."

"Dan nasib baik kami ada peluang untuk menyemak dengan orang lain termasuk Dr. Chua, jadi kami boleh mendapatkan penjelasan.

"Bila saya berbisik dengan Dr. Chua, kami berdua sama-sama rasa terperanjat (dengan berita ini). Ini yang mengejutkan," kata beliau lagi.

Ong berkata, beliau dan Dr. Chua sentiasa berbincang dan bertukar pandangan berkenaan isu dan perkara penting.

"Saya dan pasukan saya termasuk timbalan presiden, setiausaha agung dan setiap anggota CC telah bercambah fikiran panjang lebar dan akan terus berbuat demikian dan mengusahakan program-program (untuk parti)," katanya.

Sementara itu, Dr. Chua mengulangi kenyataannya semalam bahawa beliau tiada masalah bekerjasama dengan sesiapa termasuk presiden parti dan anggota MCA lain yang dipilih.

Tiada ulasan: