Isnin, 16 Mac 2009

DUN S'gor lulus usul k'jaan negeri, GLC beri sumbangan

Jimadie Shah Othman


Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul mengiktiraf kebebasan kerajaan negeri dan anak syarikatnya (GLC) bagi menyumbang kepada mana-mana pihak yang difikirkan sesuai.

Usul yang dikemukan oleh exco kerajaan negeri, Dr Xavier Jayakumar itu dilihat sebagai cuba 'menyelamatkan' menteri besarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyumbangkan 46 ekor lembu korban kepada beberapa masjid dan surau di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur Disember lalu.

Sebelum ini, Gerakan Rakyat Anti-Korupsi (Gerak) melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa Abdul Khalid menyalahgunakan dana kerajaan negeri dalam pembelian lembu tersebut.

Bekas menteri besar, Dr Mohd Khir Toyo, kini ketua pembangkang Selangor, juga tampil mengemukakan bukti berhubung perkara itu.

Hujung bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata, terdapat bukti-bukti kukuh berhubung dakwaan tersebut dan kertas siasatannya akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Usul di bawah Peraturan Tetap 27(3), Agenda Pertanggungjawaban Sosial bagi merealisasikan agenda merakyatkan ekonomi Selangor yang dibentangkan Dr Xavier petang ini menyebut:

"Bahasanya Dewan ini menetapkan untuk mengiktiraf kebebasan kerajaan negeri untuk membuat sumbangan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada mana-mana pihak yang difikirkan sesuai untuk mereka selari dengan undang-undang dan dasar-dasar mereka."

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas berkata, kuasa yang akan diberikan itu, antaranya, boleh memotivasikan kakitangan GLC negeri dan membina 'brand image' dan kesetiaan pengguna.

Katanya, inisiatif kerajaan Selangor itu telah dimulakan apabila kerajaan membuat sumbangan besar kepada mangsa gempa bumi Sichuan di China; mangsa taufan Nargis di Myammar dan bantuan terhadap rakyat Gaza melalui Yasasan Amal Selangor.

Dr Mohd Khir minggu lalu - ketika menangkis serangan terhadap pentadbiran beliau - berhubung isu perjalanan udaranya semasa menjadi menteri besar dan penggunaan kereta sebuah GLC oleh isterinya - turut menjangkakan usul ini akan dibentangkan.

Tiada ulasan: